Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:22am

Widad sahut cabaran penuhi syarat bida PLUS

KUALA LUMPUR: Persaingan bidaan PLUS Holdings Bhd semakin memuncak apabila Widad Business Group (WBG) turut menyatakan kesanggupan untuk memenuhi syarat tawaran pengambilalihan pengendali konsesi lebuh raya itu, termasuk meletakkan deposit jika diperlukan.

Konglomerat pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu itu sedang menunggu isyarat rasmi daripada kerajaan bagi meneruskan bidaan berkenaan.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang maklum balas berhubung tawaran (pengambilalihan) yang dibuat kepada kerajaan.

“Bagaimanapun kami bersedia untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan mengikut keperluan dan kehendak pengambilalihan berkenan,” kata Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah ketika dihubungi BH.

Pada 9 Oktober lalu, WBG mengemukan dua pilihan tawaran iaitu mengambil alih 51 peratus kepentingan Khazanah Nasional Bhd secara tunai pada harga RM1.5 bilion dengan baki kepentingan masih dipegang 49 peratus ekuiti kekal dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kedua ialah cadangan mengambil alih 100 peratus ke atas kepentingan Khazanah dan KWSP pada pertimbangan tunai RM3 bilion.

Muhammad Ikmal berkata, cadangan pengambilalihan itu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam tawarannya WBG bercadang akan mengurangkan kadar tol antara 25 peratus hingga 40 peratus berbanding kadar sedia ada, jika berjaya mengambilalih PLUS.

Selain daripada WBG, kerajaan sudah menerima tiga lagi tawaran rasmi iaitu daripada RRJ Capital, Maju Holdings dan juga ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad.

Kelmarin, BH melaporkan RRJ Capital iaitu firma ekuiti swasta milik warga Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, bersedia membayar deposit RM500 juta dalam tawarannya mengambil alih PLUS Malaysia Bhd.

Ia susulan cabaran daripada Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, dalam hantaran di Facebook, yang menyatakan bahawa pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS patut membuktikan kesungguhan masing-masing dengan meletakkan deposit RM500 juta kepada kerajaan.

Wang deposit itu, kata beliau, akan dipulangkan selepas kerajaan membuat keputusan mengenai pembida yang layak membeli pengendali lebuh raya yang dimiliki Khazanah Nasional Bhd sebanyak 51 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 49 peratus itu.

“Cakap sahaja, janji kosong tiada nilainya. Tunjukkan wang kepada kerajaan dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, pada Sabtu lalu berkata, semua tawaran itu akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam beberapa minggu akan datang untuk diputuskan.

“Pada peringkat ini kita sedang mengkaji semua (tawaran) itu dan bagi Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab ke atas lebuh raya bertol di Malaysia, kita akan kemukakan semua tawaran ini kepada Kabinet. Kita akan menasihati Kabinet mengenai apa yang baik. Ia akan diselesaikan dalam masa dua minggu,” katanya.

Berita Harian X