Khamis, 17 Oktober 2019 | 1:06pm
Ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Halim Saad membuat tawaran tertinggi ambil alih PLUS

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad membuat tawaran tertinggi bagi mengambilalih keseluruhan kepentingan Khazanah Nasional dalam konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PMB), demikian menurut laporan yang memetik surat ditulis bekas peneraju Renong Group itu.

Surat bertarikh 11 Oktober yang dialamatkan kepada Menteri Kerja Raya Baru Bian menyatakan bahawa Halim dan ahli perniagaan terkemuka Wong Gian Kui membuat tawaran sebanyak RM5.2 bilion bagi mendapatkan 51 peratus kepentingan milik Khazanah itu.

"PMB baru akan menawarkan diskaun 25 peratus ke atas kadar tol. Tempoh konsesi akan tetap sama dan akan berakhir pada Disember 2038," demikian menurut surat itu.

Jutawan itu mengesahkan membuat tawaran itu kepada akhbar perniagaan The Malaysian Reserve.

Minggu lalu, Widad Business Group menawarkan untuk membeli konsesi PLUS Expressways Bhd dengan mengambilalih 51 peratus kepentingan milik Khazanah dengan pertimbangan tunai bernilai RM1.5 bilion atau keseluruhan konsesi dimiliki Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan pertimbangan tunai RM3 bilion.

Kumpulan itu berjanji untuk mengurangkan kadar tol di antara 25 peratus dan 40 peratus.

Berita Harian X