Rabu, 16 Oktober 2019 | 3:58pm
SAUDI Aramco
SAUDI Aramco

Penasihat IPO Aramco dapat pulangan lumayan

DUBAI: Kumpulan penasihat yang dilantik untuk menguruskan jualan saham besar-besaran Saudi Aramco mungkin akan membahagikan jumlah bayaran setinggi AS$450 juta (RM1.86 bilion), demikian menurut sumber yang mempunyai maklumat berkaitan.

Jumlah berkenaan menjadikannya satu daripada bayaran terbesar akan dibuat bagi tawaran awam permulaan (IPO) di peringkat global.

Gergasi minyak itu dijangka membayar antara AS$350 juta (RM1.46 bilion) dan AS$450 juta (RM1.87 bilion) kepada kumpulan penasihat yang terdiri daripada lebih daripada 20 bank yang menguruskan IPO berkenaan.

Pembayaran berkenaan mewakili yuran sebanyak satu peratus daripada dana berjumlah AS$40 bilion (RM167 bilion) yang dijangka diraih Aramco, dan secara relatifnya ia lebih rendah berbanding pasaran lain.

JPMorgan Chase & Co. dan Morgan Stanley dijangka menerima bayaran yang tertinggi, menurut sumber.

Jumlah muktamad yang akan dibayar kepada bank terbabit bergantung kepada jumlah dana yang diraih Aramco.

Wakil Aramco enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi. Pegawai bank pelaburan dari seluruh dunia mula membentangkan cadangan mereka selama beberapa tahun untuk memperoleh peranan yang diidamkan banyak pihak dalam IPO Aramco itu.

Banyak firma telah membuat pelaburan besar ke wilayah berkenaan berikutan jangkaan pembayaran yuran yang lumayan, namun ramai yang kecewa berikutan perjanjian berkenaan ditangguhkan atau gagal untuk dilaksanakan.

Walaupun Aramco akan menjadi satu daripada pembayar yuran terbesar bagi bank pelaburan, ia masih jauh untuk mengatasi AS$535 juta (RM2.24 bilion) yang dibayar Softbank Group Corp apabila ia meraih AS$21 bilion (RM88 bilion) yang diperoleh menerusi penjualan saham perniagaan telekomunikasi Jepun miliknya tahun lalu.

Bagaimanapun, pegawai bank mungkin tidak boleh terlalu memilih.

Ketika National Commercial Bank dari Arab Saudi meraih AS$6 bilion (RM25 bilion) semasa IPO pada 2014, penasihat termasuk HSBC dan Gulf International Bank hanya dibayar 0.1 peratus daripada nilai tawaran.

Lembaga pengarah Aramco dijangka bertemu dengan penasihat IPO pada 17 Oktober bagi memberikan kelulusan muktamad bagi jualan saham, demikian menurut sumber.

Aramco mempercepatkan persediaan bagi IPO dengan sasaran untuk disenaraikan di bursa saham Arab Saudi paling cepat pada November, menurut Bloomberg News.

Proses untuk merealisasikan IPO yang dijangka terbesar di dunia itu juga menarik minat beberapa nama besar di Wall Street.

Aramco melantik sembilan penyelaras bersama termasuklah Goldman Sachs Group Inc, HSBC Holdings Plc dan Credit Suisse Group AG.

-Bloomberg

Proses untuk merealisasikan IPO yang dijangka terbesar di dunia itu juga menarik minat beberapa nama besar di Wall Street. Aramco melantik sembilan penyelaras bersama termasuklah Goldman Sachs Group Inc, HSBC Holdings Plc dan Credit Suisse Group AG. -Bloomberg

ends

Berita Harian X