Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:17pm

PETRONAS tambah pelanggan LNG

KUALA LUMPUR: Petronas LNG Ltd (PLL), anak syarikat PETRONAS, baru-baru ini membuat penghantaran ketiga kargo gas asli cecair (LNG) secara pukal pecah menerusi pemindahan kapal ke kapal (STS) kepada dua pembeli.

Pemindahan yang dibuat di Teluk Brunei, Sabah, adalah yang pertama untuk syarikat minyak dan gas negara itu dari segi meningkatkan jumlah pelanggannya dengan menyediakan penyelesaian kepada dua pembeli berkenaan.

Kapal penghantar terbabit, Seri Bjaksana, telah memindahkan sejumlah 80,000 meter padu LNG kepada kapal pengangkut LNG, Polar Spirit serta 62,000 meter padu bahan itu kepada Lerici yang kemudiannya melakukan penghantaran berasingan kepada dua terminal penerima di China.

Sebelum ini, PETRONAS berjaya menyelesaikan operasi STS LNG pertamanya pada Jun 2018 dan kedua pada April 2019.

“PETRONAS terus menunjukkan keupayaannya dari segi fleksibiliti dan kebolehsesuaian dalam persekitaran pasaran LNG yang berubah serta dinamik.

“Kejayaan operasi penghantaran STS ketiga ini adalah perakuan kepada komitmen kami untuk memenuhi permintaan pelanggan,” kata Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Tenaga Baharunya, Adif Zulkifli.

Beliau turut menyifatkan usaha terbabit mampu dicapai susulan pelaksanaan model perniagaan PETRONAS yang unik dan membolehkan mereka menyeragamkan penyelesaian mengikut keperluan pelanggan, khususnya ketika pasaran beralih kepada keperluan kargo LNG bersaiz sederhana atau kecil.

“PETRONAS berupaya menyempurnakan penghantaran tepat pada masanya dan mengikut jadual sejak lebih 35 tahun dan seterusnya berikutan (komitmen) untuk terus kekal menyediakan penyelesaian inovatif bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Penghantaran kali ini adalah hasil kerjasamanya dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Lembaga Pelabuhan Sabah, Sabah Ports Sdn Bhd, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, MISC Bhd, Teekay LNG Partners L.P., Asian Supply Base Sdn Bhd, Argo Engineering Sdn Bhd, Eastport Marine Sdn Bhd dan KASI (Malaysia) Sdn Bhd.

Berita Harian X