Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:39am
Pengerusi AirAsia Filipina, Joseph Omar Castillo.

AirAsia Filipina tangguh IPO kepada 2020 atau 2021

MANILA: Unit operasi AirAsia Bhd di Filipina menangguhkan tawaran awam permulaannya (IPO) ke tahun depan atau 2021 kerana mahu memberi tumpuan kepada penyusunan semula korporat dan mencari dana daripada pemegang saham sedia ada, kata pengerusinya.

Syarikat penerbangan kos rendah itu bercadang disenaraikan di bursa saham dan menjana sekitar AS$200 juta sejak 2015, tetapi menangguhkan rancangan itu beberapa kali kerana pasaran lemah dan harga minyak yang tidak menentu.

"Menurut anggaran garis masa kami, kami melihat pada suku ketiga tahun depan hingga suku pertama 2021," kata Pengerusi AirAsia Filipina, Joseph Omar Castillo, kepada wartawan.

Satu lagi pertimbangan utama ialah prestasi pasaran saham yang baik, kata Castillo.

Syarikat itu sedang disusun semula selepas ahli parlimen Filipina Michael Romero menjadi pemegang saham terbesar tunggal syarikat penerbangan itu.

Syarikat penerbangan itu, yang memulakan operasi Filipina pada 2012, mempunyai angkatan 23 pesawat Airbus yang memenuhi laluan Filipina dan luar negara. - Reuters

Berita Harian X