Rabu, 9 Oktober 2019 | 5:12pm

Jual kepentingan, labur semula urus niaga biasa - Khazanah

KUALA LUMPUR: Transaksi yang sedang dilakukan oleh Khazanah Nasional Bhd adalah satu urus niaga biasa yang membabitkan penjualan pelaburan dan kemudian melabur semula modal untuk pelaburan baharu, kata Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Hasil daripada penjualan kepentingan itu digunakan untuk membayar hutang Khazanah dan membiayai pelaburan baharu, katanya.

Menyangkal dakwaan bahawa dana pelaburan negara itu menjual aset negara dan terus mengumpul hutang, Shahril Ridza berkata tumpuannya untuk jangka masa terdekat adalah melaksanakan keutamaan strategiknya seperti dipersetujui oleh lembaga pengarah.

Berhubung kritikan bahawa penjualan oleh Khazanah tidak kena pada masanya berikutan nilai aset masih belum direalisasikan, beliau menegaskan keputusan sama ada untuk menjual kepentingan atau tidak dibuat selepas sasaran pelaburannya dipenuhi.

“Ia sentiasa dibuat berdasarkan asas komersial. Ini bermakna kami akan pertimbangkan sama ada lebih baik untuk pegang aset dengan jangkaan mendapat dividen di masa depan dan meningkatkan nilainya atau jual dan menggunakan hasilnya untuk membuat pelaburan baharu,” kata Shahril Ridza dalam e-mel bagi menjawab soalan daripada Bernama.

Wujud kebimbangan sejak diumumkan bahawa modal daripada penjualan aset itu akan digunakan untuk mengurangkan hutang negara, dan pembelinya mungkin menggunakan peluang itu untuk menawarkan harga lebih rendah.

Sebagai dana pelaburan negara, Shahril Ridza berkata objektif utama Khazanah adalah untuk melabur bagi tujuan menjana pulangan kewangan untuk jangka panjang.

“Susulan itu, semua peluang untuk penjualan kepentingan dinilai mengikut setiap kes dan dibandingkan dengan sasaran kewangan dan strategik kami dan akan bergantung pada waktunya dan kekuatan pasaran dan juga adanya pembeli yang berkualiti dan berwibawa.

“Khazanah akan menimbangkan setiap cadangan berwibawa untuk mengambil alih aset kami daripada semua pihak yang berminat selagi tawaran itu memenuhi objektif pelaburan kami dan transaksi dilaksanakan mengikut amalan terbaik berasaskan pasaran untuk memastikan ketelusan sepenuhnya bagi semua pihak,” katanya.

Pada 2019, Khazanah memulakan proses menyeimbangkan semula Dana Komersialnya, iaitu dana yang memberi tumpuan untuk mewujudkan portfolio global yang mempelbagaikan aset dan pendapatannya - dijangka transaksi itu selesai dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun dan mencapai sasaran portfolio seimbang.

Dari segi penjualan kepentingan, tahun ini Khazanah telah melakukan jualan pada jumlah kira-kira RM15.9 bilion, kebanyakannya daripada pengurangan separuh kepentingannya dalam IHH Healthcare Bhd (RM8 bilion), Alibaba Holdings Ltd (RM2 billon) dan Tenaga Nasional Bhd (RM1 bilion) dan penjualan seluruh kepentingannya dalam BDO Unibank (RM1.5 bilion) dan Farfetch.com Ltd (anggaran RM771 juta).

Bagi pelaburan, Khazanah telah memeterai komitmen dengan dana pelaburan luar pada jumlah kira-kira AS$200 juta (RM840 juta).

Selain itu, ia turut membiayai aset sedia ada dan komitmen pelaburan sebelumnya.

Pada 31 Disember 2018, nilai aset yang direalisasikan dalam portfolio pelaburan Khazanah adalah RM136 bilion.

Untuk masa depan, Shahril Ridza berkata, Khazanah akan menjalankan peranannya sebagai dana pelaburan Malaysia dengan menguruskan dua dana – Dana Komersial dan Dana Strategik - dengan objektif spesifik.

-BERNAMA

Berita Harian X