Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:55pm

AirAsia Filipina tangguh IPO ke tahun depan atau 2021

MANILA: AirAsia Filipina menangguhkan tawaran awam permulaannya (IPO) kepada tahun depan atau 2021 berikutan tumpuannya terhadap penyusunan semula korporat dan mencari dana daripada pemegang saham semasanya, kata pengerusinya pada Rabu.

Syarikat penerbangan kos rendah itu telah merancang melakukan penyenaraian dan meraih sekitar AS$200 juta (RM839.3 juta) sejak tahun 2015, tetapi telah membatalkan rancangan itu beberapa kali kerana keadaan pasaran yang lemah dan harga minyak yang tidak menentu.

"Menurut anggaran garis masa kami, syarikat melihat IPO ini untuk dilakukan pada suku ketiga tahun depan hingga suku pertama tahun 2021," kata Pengerusi AirAsia Filipina, Joseph Omar Castillo kepada wartawan.

Satu lagi pertimbangan penting ialah terhadap prestasi pasaran saham yang baik, katanya.

Syarikat itu sedang disusun semula selepas ahli parlimen Filipina, Michael Romero, membeli beberapa saham pelabur pada Jun lalu untuk menjadi pemegang saham terbesar tunggal syarikat penerbangan itu.

Penerbangan tambang murah itu merancang untuk meraih dana melalui saham biasa dan pilihan.

AirAsia Filipina meninjau penilaiannya berjumlah AS$600 juta (RM2.52 bilion) dan merancang untuk meraih AS$200 juta tahun ini untuk membeli pesawat dan mengembangkan laluannya.

Ia menyasar untuk meningkatkan pendapatan sebanyak 39 peratus kepada rekod 29 bilion peso (AS$560 juta) dengan membawa 10 juta penumpang tahun ini, kata Naib Pengerusi, Shiela Romero.

Syarikat penerbangan itu memulakan operasi di Filipina pada tahun 2012 dan mempunyai 23 pesawat Airbus yang membawa laluan ke Filipina dan luar. - Reuters

Berita Harian X