Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:02pm

Exxon pertimbang jual aset huluan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Exxon Mobil Corp sedang menimbang untuk menjual aset huluan luar pesisir di Malaysia ketika gergasi tenaga Amerika Syarikat (AS) itu sedang meneruskan program pelupusannya, kata individu yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Syarikat itu sedang bekerjasama dengan sebuah penasihat berhubung potensi menjual asetnya di Malaysia, yang boleh menjana antara AS$2 bilion (RM8.4 bilion) hingga AS$3 bilion (RM12.6 bilion), kata individu berkenaan, yang enggan dikenali kerana perkara terbabit adalah sulit.

Exxon sudah mula mengenal pasti pembeli berpotensi, walaupun pertimbangan penjualan itu masih di peringkat awal dan syarikat boleh membatalkan urus niaga berkenaan, kata individu terbabit.

Pembida berpotensi aset itu termasuklah syarikat tenaga utama lain yang mempunyai kepentingan di rantau ini, katanya.

Exxon tidak memberikan maklum balas kepada pertanyaan di luar waktu perniagaannya di Texas, di mana ibu pejabatnya ditempatkan, manakala wakil di Singapura dan Australia tidak dapat memberikan kenyataan.

Urus niaga itu akan menyusuli penjualan asetnya di Norway bernilai AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) bulan lalu, yang menjadi sebahagian pelan pelupusan syarikat bagi membantu membiayai antara pemulihan korporat terbesar dalam sejarahnya selepas beberapa tahun berdepan pengeluaran yang tidak berkembang, manakala harga sahamnya gagal menyaingi pesaing.

Di Asia, Exxon berkemungkinan menghentikan projek bernilai AS$5 bilion (RM20.1 bilion) di Vietnam, Indonesia, Thailand, Australia serta Malaysia, sebagai sebahagian projek penjualan asetnya, kata penanalisis Wood Mackenzie, Andrew Harwood dalam satu kenyataan.

Exxon mengeluarkan minyak dan gas di Malaysia di bawah empat kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan PETRONAS, menurut laman webnya.

PSC terbabit meliputi kawasan luar pesisir seluas 2.4 juta ekar dengan terma pengeluaran dan penerokaan sehingga 38 tahun, kata Exxon dalam kenyataan terkininya.

-Bloomberg

Berita Harian X