Rabu, 9 Oktober 2019 | 3:00pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf MAIK Muamalat, Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid melihat Kod Respon Pantas (QR) pada pelancaran e-Wakaf melalui QR di Kuala Lumpur. NSTP/Mahzir Mat Isa.

Bank Muamalat sasar peningkatan peniaga guna QR

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasarkan 15,000 peniaga atau pengusaha runcit akan menggunakan perkhidmatan pembayaran melalui kod respons pantas atau QR tahun depan.

Ketika ini, terdapat 2,700 peniaga yang menggunakan pembayaran QR berkenaan dan dijangka meningkat kepada 3,700 menjelang akhir tahun ini.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Jabatan e-Perbankan dan Perniagaan Strategiknya, Datuk Mearia Hamzah, berkata selain peniaga, institusi keagamaan termasuk masjid dan surau turut menggunakan kemudahan berkenaan menerusi inisiatif e-Derma yang diperkenalkan pertengahan tahun lalu.

Terbaharu, beliau berkata pihaknya memperkenalkan kemudahan e-Wakaf menerusi pembayaran QR itu yang buat masa ini membabitkan empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah.

“Sebelum ini, pelanggan yang ingin berwakaf boleh berbuat demikian menggunakan perbankan internet, mesin ATM atau ke kaunter bank. Kini, ia diperluaskan lagi dengan pengenalan pembayaran e-Wakaf.

“Pada masa hadapan, kami merancang untuk mengembangkan penggunaan pembayaran QR ini kepada perkhidmatan zakat dikenali sebagai e-Zakat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran e-Wakaf melalui QR di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Majlis Agama Islam Kelantan Muamalat, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Terdahulu, Mohd Redza di dalam ucapannya berkata, sehingga Ogos tahun ini, kutipan keseluruhan dana Wakaf Muamalat telah mencecah RM27 juta dan sebanyak RM19 juta telah diagihkan ke 82 projek di seluruh negara.

Katanya, antara penggunaan dana wakaf itu termasuk bagi pembangunan infrastruktur dan pembiayaan peralatan kesihatan dan pendidikan, kos rawatan kesihatan dan yuran atau biasiswa pendidikan.

“Seiring dengan perkembangan semasa penerimaan masyarakat terhadap penggunaan teknologi dan pembayaran melalui QR, Bank Muamalat memperkenalkan inisiatif e-Derma melalui QR pertengahan tahun lalu.

“Bank Muamalat adalah institusi perbankan pertama yang memperkenalkan e-Derma melalui aplikasi QR telefon bimbit i-Muamalat. Kaedah ini memudahkan orang ramai untuk berinfaq di masjid dan surau di seluruh negara yang mampunyai akaun dengan kami.

“Sehingga kini, lebih 11,000 transaksi QR melalui e-Derma dan pembayaran QR telah direkodkan dengan nilai mencecah hampir RM200,000. Ini menunjukkan masyarakat memyambut baik penggunaan QR bagi menggantikan wang tunai untuk melakukan transaksi,” katanya.

Berita Harian X