Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:22pm

Rakan strategik Malaysia Airlines dimuktamad akhir tahun

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dijangka memuktamadkan pemilihan rakan strategik untuk Malaysia Airlines Bhd menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata sayap pelaburan kerajaan berkenaan sudah menerima cadangan daripada lebih 20 pihak bagi tujuan pengambilanalihan syarikat penerbangan nasional yang bermasalah itu.

“Cadangan itu adalah gabungan antara pengurus dana, syarikat penerbangan antarabangsa serta serantau dan juga pelabur-pelabur,” kata Shahril Ridza di luar Forum Khazanah Megatrends 2019 di sini.

Beliau berkata, selepas pemilihan itu dimuktamadkan, barulah pihaknya akan dapat mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan mengenai arah tuju Malaysia Airlines untuk tempoh selanjutnya.

Julai lalu, Khazanah melantik Morgan Stanley untuk meneroka pilihan strategik memulihkan Malaysia Airlines, termasuk potensi menjual kepentingan.

Shahril Ridza berkata, pelantikan Morgan Stanley adalah penting bagi Khazanah untuk mendapatkan pelabur berpotensi kerana ia mengutamakan penasihat bebas bagi menjalankan kajian daya maju pelaburan serta menilai proses komersial dan perniagaan.

“Ini bagi memastikan kerahsiaan terjamin dan pada masa sama memastikan prosesnya adil,” tambahnya.

Khazanah percaya Malaysia Airlines masih mempunyai nilai intrinsik dan menyasar untuk mendapatkan perkongsian yang tepat untuk merealisasikan nilai syarikat penerbangan negara itu.

“Khazanah menjangka untuk menyuntik RM1.3 bilion bagi tahun ini. Ia pelaburan untuk mengekalkan syarikat penerbangan itu dengan kos operasinya,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Khazanah sudah menyuntik kira-kira RM800 juta ke dalam Malaysia Airlines melalui syarikat pegangannya, Malaysia Aviation Group Bhd.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad awal minggu ini berkata, kerajaan akan membenarkan Khazanah untuk membuat keputusan mengenai rakan strategik Malaysia Airlines.

“Saya belum bercakap dengan mereka (Khazanah), terdapat beberapa calon, termasuk banyak cadangan daripada syarikat tempatan. Namun, terserah kepada Khazanah untuk menentukannya,” katanya kepada pemberita di Parlimen pada Isnin.

Berita Harian X