Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:58pm

Khazanah, Temasek jual hotel Singapura RM1.44 bilion

KUALA LUMPUR: M+S Pte Ltd, pemaju hartanah Singapura 60 peratus milik Khazanah Nasional Bhd dan 40 peratus milik Temasek Holdings Pte Ltd, menjual Ophir-Rochor Hotel Pte Ltd (ORH), pemilik hotel Andaz Singapore, kepada Hoi Hup Realty Pte Ltd (Hoi Hup) pada harga S$475 juta (RM1.44 bilion).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, transaksi berkenaan adalah yang tertinggi pernah dicatatkan bagi segmen hotel di Singapura dan yang ketiga tertinggi di Asia tahun ini.

Ketua Eksekutif M+S, Kemmy Tan, berkata rekod transaksi berkenaan menjadi bukti tahap kualiti yang ada pada Andaz Singapore dan pengalaman yang ia tawarkan kepada tetamunya.

“Ia juga mencerminkan potensi pertumbuhan hotel berkenaan selaras dengan evolusi berterusan di daerah Bugis sebagai lanjutan kepada Wilayah Perniagaan Sentral (CBD) yang sedia ada.

“Dengan tawaran yang begitu kukuh itu, kami yakin transaksi yang dicadangkan akan membolehkan kami memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham kami dan dalam masa yang sama menyerahkan pemilikan kami kepada pemaju yang begitu stabil dan kukuh, Hoi Hup,” katanya.

Mengulas lanjut, Tan berkata, M+S akan terus memiliki dan menguruskan asetnya di Marina One ke tahap tertinggi demi pemegang sahamnya.

Hotel bertaraf lima bintang mula beroperasi pada 2017 dan ia adalah hotel Andaz pertama di Asia Tenggara. Ia mempunyai 342 bilik yang memenuhi 15 tingkat teratas Duo Tower serta dilengkapi dengan pelbagai pilihan ruang makan, lokasi di atas bumbung, dek pemantauan serta kemudahan mesyuarat premium.

Hotel berkenaan juga adalah sebahagian daripada pembangunan bercampur Duo dan terletak di dalam koridor Ophir-Rochor si Singapura, bersebelahan dengan Kampong Glam dan mempunyai sambungan terus ke Bugis MRT Station.

Sementara itu, Pengerusi Hoi Hup, Wong Swee Chun berkata pihaknya tertarik dengan keunikan yang ada pada hotel mewah berkualiti tinggi itu.

“Kami amat teruja dengan lokasi strategik hotel berkenaan dan yakin Andaz Singapore akan memenuhi potensinya menjadi satu daripada peneraju hotel mewah di Singapura,” katanya.

Berita Harian X