Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:28pm
MSM Perlis laksana langkah lupus aset bukan teras sebagai sebahagian amalan rasionalisasi aset. - Arkib NSTP

MSM jual Ladang Chuping ke F&N Agrivalley

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, MSM Perlis Sdn Bhd menjual sembilan bidang tanah pertanian berstatus pajakan yang dikenali sebagai Ladang Chuping kepada F&N Agrivalley Sdn Bhd (F&N Agrivalley).

Penjualan tanah seluas 4,453.92 hektar kepada F&N Agrivalley yang juga anak syarikat milik penuh Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) itu membabitkan pertimbangan tunai keseluruhan RM156 juta.

Penjualan tanah yang terletak di Mukim Chuping, Perlis itu dibuat sebagai sebahagian daripada amalan rasionalisasi aset syarikat bagi mengenal pasti nilai aset bukan terasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz, berkata transaksi itu mengukuhkan lagi kunci kira-kira kumpulan, dengan jumlah hutang juga akan berkurangan.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz. - Arkib NSTP

Katanya, MSM akan memfokuskan dalam mencipta dan menghasilkan nilai dalam kepakaran teras dan akan terus melupuskan aset bukan teras bagi memastikan sumber kewangan dan pengurusan komited dengan perniagaan teras.

“Keseluruhan proses dijalankan secara telus. Kami mempunyai tujuan yang jelas dari awal lagi di mana pelupusan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada MSM tetapi kepada kerajaan negeri Perlis serta komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tanah berkenaan mempunyai tempoh pajakan selama 90 tahun dan pada masa ini, ia digunakan bagi tujuan tanaman buah mangga, ladang getah dan juga ladang kelapa sawit.

Nilai pasaran bagi tanah berkenaan adalah RM190 juta berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Raine & Horne International Zaki + Partners Sdn Bhd pada 20 Ogos 2019.

Hasil jualan dijangka dimanfaatkan bagi tujuan pembayaran semula pinjaman bank dan modal kerja bagi syarikat dan juga anak syarikat.

Dalam kenyataan berasingan, F&N menjelaskan bahawa pembelian Ladang Chuping adalah untuk meneroka penyumberan susu segar bagi menyokong pengeluaran produk hilirannya.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, model integrasi Ladang Chuping akan membolehkan syarikat mengurangkan kebergantungan kepada susu import dan dalam masa yang sama mempromosikan industri agrikultur tempatan.

“Pelaburan ini mencerminkan potensi yang kami nampak untuk mengisi jurang yang ada dalam sektor tenusu tempatan dan peluang besar untuk meningkatkan penggunaan susu segar di negara ini.

“Tanah yang berhampiran antara satu sama lain membolehkan kami melaksanakan model integrasi daripada rumput ke gelas. Ia akan bersandarkan kepada agenda lestari menggunakan teknologi agronomi yang tepat dan amalan baik untuk mengurangkan kesan karbon daripada tanaman, ladang tenusu dan kemudahan lain,” katanya.

Berita Harian X