Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:00pm
Galaxy Note 10 baharu.
Galaxy Note 10 baharu.

Galaxy Note 10 perkukuh keuntungan Samsung

SEOUL: Samsung Electronics mencatatkan keuntungan lebih tinggi pada suku ketiga, dibantu jualan kukuh dalam siri telefon pintar Galaxy Note 10 baharu walaupun penurunan dalam perniagaan cip memori terus memberi tekanan terhadap pendapatannya.

Dalam satu kenyataan menjelang pengumuman pendapatan yang lebih terperinci pada akhir bulan ini, gergasi teknologi Korea Selatan itu berkata keuntungan operasi untuk suku Julai hingga September berkemungkinan akan jatuh 56 peratus kepada 7.7 trilion won (RM27 bilion).

Ia sedikit lebih baik daripada unjuran 7.1 trilion won (RM25 bilion) oleh data daripada Refinitiv SmartEstimate, hasil jualan kukuh siri Galaxy 10 di negara itu dan di Eropah sejak dilancarkan pada 23 Ogos lalu.

Samsung, pengeluar telefon pintar terbesar dunia berkata, ia telah menjual lebih sejuta telefon bimbit 5G di Korea Selatan, menjadikannya model perdana syarikat yang paling pantas dijual di negara itu.

Penganalisis berkata, Samsung mendapat manfaat daripada sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Huawei Technologies Co Ltd yang telah berkuatkuasa, menghalang firma AS daripada membekalkan kepada syarikat China itu.

Telefon pintar Huawei baharu, Mate 30 dihantar ke Eropah pada bulan ini, namun sekatan itu bermaksud peranti berkenaan mempunyai akses yang lebih kecil terhadap sistem operasi Android Google Android berlesen, serta perkhidmatan mudah alih termasuk Play Store dan aplikasi popularnya seperti Gmail, Youtube atau Google Maps.

“Samsung mungkin akan kembali menjadi pilihan di pasaran Eropah selagi sekatan terhadap Huawei berterusan dan mungkin dapat menarik balik pelanggan Eropah yang sebelum ini beralih kepada Huawei,” kata penganalisis di Cape Investment & Securities, Park Sung-soon.

Saham-saham di Samsung meningkat kira-kira satu peratus berbanding pasaran yang lebih luas sehingga 0245GMT.

Walaupun Samsung mendapat manfaat daripada masalah Huawei dari segi jualan telefon pintar, statusnya sebagai firma semikonduktor terbesar di dunia dari segi pendapatan juga menyebabkannya terdedah kepada masalah dihadapi pesaingnya dari China itu.

Huawei adalah pembeli utama cip memori Samsung.

Ekonomi global yang lemah dan perbelanjaan lebih perlahan oleh pelanggan utamanya telah mengakhiri ledakan selama dua tahun dalam pasaran cip memori lebih meluas, di mana Samsung meraih kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan keuntungannya.

Samsung berkata pendapatannya mungkin susut 5.3 peratus kepada 62 trilion won (RM217 bilion) pada suku ketiga daripada 65.5 trilion won (RM274.6 bilion) setahun lalu.

Park berkata, perniagaan mudah alih Samsung adalah jauh lebih kecil daripada perniagaan cip memori, yang hanya menyumbang kira-kira 20 peratus keuntungan kepada kumpulan itu.

“Oleh itu, jualan telefon pintar yang kukuh mempunyai keupayaan terhad untuk menyelesaikan semua masalah Samsung,” kata Park.

-Reuters

Berita Harian X