Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:51pm
SAMSUNG Galaxy Fold 5G. - Foto REUTERS
SAMSUNG Galaxy Fold 5G. - Foto REUTERS

Anggaran keuntungan Q3 Samsung mengatasi jangkaan

SEOUL: Samsung Electronics mencatat keuntungan suku ketiga (Q3) lebih baik daripada jangkaan, disokong jualan kukuh Galaxy Note 10 baharu walaupun penurunan dalam perniagaan cip memori terus memberi kesan kepada pendapatan.

Dalam pemfailan menjelang pengumuman lebih terperinci lewat bulan ini, gergasi teknologi Korea Selatan itu berkata keuntungan operasi bagi suku Julai hingga September berkemungkinan akan susut 56 peratus kepada 7.7 trilion won (AS$6.44 bilion).

Ia lebih baik sedikit daripada unjuran 7.1 trilion won oleh data Refinitiv SmartEstimate, disumbang jualan siri Galaxy 10 di pasaran domestik dan Eropah sejak dilancarkan pada 23 Ogos.

Samsung, pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, berkata ia menjual lebih satu juta telefon bimbit 5G di Korea Selatan, menjadikannya model utama mencatat jualan paling pantas di pasaran domestik.

Penganalisis berkata, Samsung meraih manfaat daripada sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Huawei Technologies Co Ltd yang menghalang firma AS daripada membekalkan kepada pesaing dari China itu.

Telefon pintar Huawei Mate baharu 30 dihantar ke Eropah pada bulan ini, tetapi sekatan itu bermakna produk itu tidak mempunyai akses kepada sistem operasi versi Google AS yang sah, selain perkhidmatan mudah alih lain termasuk Play Store dan aplikasi popular seperti Gmail, Youtube atau Maps.

"Samsung dijangka menikmati populariti di pasaran telefon pintar Eropah selagi pengharaman Huawei berterusan dan dijangka dapat menarik semula pelanggan Eropah yang beralih kepada Huawei sebelum ini," kata penganalisis di Cape Investment and Securities, Park Sung-soon.

Sementara Samsung meraih manfaat daripada masalah yang dihadapi Huawei dari segi jualan telefon pintar, statusnya sebagai firma semikonduktor terbesar di dunia berdasarkan pendapatan juga terdedah kepada masalah dihadapi pesaing dari China itu.

Ini kerana, Huawei adalah pembeli utama cip memori Samsung.

Ekonomi global yang lemah dan perbelanjaan lebih perlahan oleh pelanggan pusat data utama mengakhiri ledakan dua tahun dalam pasaran cip memori secara lebih meluas, di mana Samsung mengaut sekitar dua pertiga daripada keseluruhan keuntungannya.

Dalam kemas kini dagangan terhad Selasa, Samsung berkata pendapatannya mungkin turun 5.3 peratus kepada 62 trilion won pada Q3 daripada 65.5 trilion won setahun lalu.

Park mengingatkan bahawa perniagaan mudah alih Samsung jauh lebih kecil berbanding perniagaan cip memori, menyumbang kira-kira 20 peratus kepada keuntungan.

"Sehubungan itu, jualan kukuh telefon pintar mempunyai keupayaan terhad untuk menyelesaikan semua masalah Samsung," kata Park. - Reuters

Berita Harian X