X
Rabu, 2 Oktober 2019 | 6:58pm
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sunway REIT tinjau pasaran luar negara

SUBANG JAYA: Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) meninjau pasaran luar negara dalam rancangan mempelbagaikan pasaran hartanahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng, berkata ia adalah sebahagian daripada sasaran jangka pertengahan kumpulan melalui inisiatif Transcend 2025 (TC25).

Sunway REIT Management adalah pengurus Sunway REIT.

Beliau berkata, kumpulan bercadang menjadi peneraju industri, dengan berada di kedudukan tiga teratas bagi pasaran REIT tempatan.

“Industri hartanah tempatan agak mencabar dan kami ingin mempelbagaikan selain meningkatkan pendapatan kumpulan dengan merancang meninjau pasaran luar negara.

“Beberapa negara kini berpotensi untuk diteroka dalam pasaran hartanah, sebagai contoh United Kingdom dan Jepun tetapi ianya perlu dikaji secara mendalam dari setiap perkara. Kami tidak mahu pelaburan yang dijalankan tidak mendatangkan hasil sekali gus tidak mampu memberi agihan seunit yang tinggi kepada pelabur.

“Selain itu, melalui TC25 juga kami menyasarkan kumpulan dapat meningkatkan nilai hartanah kepada RM13 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025, berbanding sebanyak RM8.05 bilion ketika ini, melalui pelbagai strategi yang dirancang.

“Pulangan purata dalam tempoh lima tahun juga dijangka berada pada kadar lapan hingga 12 peratus selain kadar pertumbuhan kompaun tahunan agihan seunit pula pada tiga hingga lima peratus,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sunway REIT di sini, hari ini.

Ng berkata, kumpulan akan memperluaskan pelaburan ke subsektor pertumbuhan yang pesat untuk mempelbagaikan portfolio asetnya.

Beliau berkata, Sunway REIT juga meneroka pengambilalihan hartanah yang berpotensi, pembangunan semula, pemulihan dan pelupusan.

“Kumpulan turut mencari peluang penggabungan dan pengambilalihan selain meneroka peluang pelaburan bukan tradisional.

“Pelaburan ke subsektor yang sedang berkembang juga dilihat bakal merancakkan lagi REIT seperti memasuki pasaran e-dagang untuk penyediaan gudang dan juga logistik,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2019, Sunway REIT mencatatkan perolehan sebanyak RM580 juta, meningkat sebanyak 3.5 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya dengan pendapatan bersih hartanah sebanyak RM440 juta.

Agihan seunit Sunway REIT juga meningkat kepada 9.59 sen berbanding 9.57 sen.

Sunway REIT kini mempunyai 17 portfolio aset merangkumi empat pusat membeli belah, enam hotel, empat bangunan pejabat, pusat perubatan, bangunan perindustrian dan pendidikan.

Berita Harian X