Selasa, 1 Oktober 2019 | 6:47pm

Axiata tumpu jual kepentingan dalam unit perniagaan

KUALA LUMPUR/SINGAPURA: Axiata Group Bhd mula mengubah taktik dengan berunding untuk menjual kepentingan dalam unit-unit perniagaannya dan bukan lagi urus niaga di peringkat kumpulan, kata sumber kepada Reuters.

Ia susulan tekanan yang dihadapinya untuk menjana tunai kepada pemegang saham, selepas penggabungan dengan syarikat telekomunikasi Norway, Telenor ASA menemui kegagalan.

Kejayaan strategi sedemikian penting untuk firma telekomunikasi yang dimiliki sayap pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd dan pengurus dana berkaitan kerajaan lain, kerana ia berdepan persaingan mencabar merentasi Asia Tenggara, pelaburan besar dalam rangkaian generasi kelima (5G) dan pelabur yang mahukan tunai.

“Syarikat induk yang kecewa tidak lagi mencari calon yang sesuai,” kata salah seorang daripada sumber itu, yang menjelaskan stategi baharu berkenaan.

“Kini masanya untuk anak-anak (unit perniagaan) mencari rakan.”

Axiata dan Telenor mula berunding pada Mei lalu untuk urus niaga bukan tunai bagi mewujudkan pengendali telekom terbesar di Asia Tenggara dengan 300 juta pelanggan.

Mereka menamatkannya bulan lalu dengan memetik kerumitan yang tidak dapat ditentukan, yang mana seorang sumber mengatakan bahawa bantahan utama dari pihak Malaysia ialah Telenor akan mempunyai penguasaan majoriti dalam firma gabungan itu.

Axiata, yang beroperasi dalam sembilan negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan, telah menerima tawaran tidak rasmi daripada IHS Tower, Nigeria untuk kepentingan dalam syarikat menara telekomnya, edotco Group Sdn Bhd, demikian kata tiga sumber.

Rancangan tawaran awam permulaan (IPO) edotco telah dikurangkan keutamaannya buat masa ini, kata salah seorang sumber itu.

Axiata juga ingin menjual saham dalam unit 66.4 peratus miliknya di Indonesia, PT XL Axiata Tbk, kata sumber yang enggan dikenal pasti kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Ia menerima tawaran “serius dan boleh dipercayai” daripada CK Hutchison Holdings Ltd, Hong Kong.

Axiata yakin memeterai perjanjian urus niaga XL menjelang tahun depan, namun tidak mahu melepaskan kawalan majoriti kerana XL memegang penguasaan pasaran kedua terbesar dalam rangkaian telefon mudah alih di Asia Tenggara, kata sumber.

Apabila dihubungi oleh Reuters, Axiata berkata, ia tidak mempunyai sebarang kenyataan segera.

IHS Towers dan CK Hutchison enggan mengulas.

Di bawah kerajaan baharu yang berminat untuk mengurangkan hutang, Khazanah tahun ini memperkenalkan satu pelan membahagikan portfolionya bernilai AS$33 bilion ke dalam pegangan komersial dan strategik bagi memaksimumkan pulangan.

Bagaimanapun, ia sukar untuk mengekalkan syarikat penerbangan, Malaysia Airlines, di tengah-tengah pencarian yang berlarutan untuk mendapatkan pembeli, meningkatkan tekanan ke atas perniagaan lain untuk menjana dana.

“Axiata sedang mengejar keuntungan jangka pendek dan tunai ketika ini,” kata salah seorang daripada mereka.

Axiata berada di bawah dana komersial Khazanah, yang mana tahun lalu mencatatkan kerugian buat kali pertama dalam sedekad berikutan pengurangan divestasi, rosot nilai yang tinggi dan pendapatan dividen yang lebih rendah.

Khazanah enggan mengulas, dan mengarahkan soalan kepada Axiata.

Saham Axiata, bernilai lebih AS$10 bilion, jatuh lebih 10 peratus sejak pembatalan penggabungan yang diumumkan pada awal September.

Firma itu berharap untuk memeterai perjanjian berkenaan selewat-lewatnya seminggu sebelum pengumuman itu dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, beliau terkejut ia tidak berjaya.

“Ia membuatnya amat terguris,” kata salah seorang sumber.

“Beliau merasakan kredibilitinya tercalar.”

-Reuters

Berita Harian X