Selasa, 1 Oktober 2019 | 1:37pm

PETRONAS, Sinopec ditawar jadi pelabur IPO Aramco

LONDON: Saudi Aramco sudah mendekati beberapa firma minyak milik kerajaan di Asia termasuk PETRONAS dan Sinopec Group dari China berhubung potensi menjadi pelabur utama dalam tawaran awam permulaan (IPO), kata individu yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Gergasi tenaga rantau Teluk itu dan penasihatnya baru-baru ini mengadakan rundingan dengan pelabur berpotensi termasuk dana kekayaan berdaulat China dan China National Petroleum Corp, menurut individu itu, yang enggan dikenali kerana maklumat itu adalah sulit.

Mereka juga berhubung dengan beberapa entiti milik negara di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait, termasuklah dana berdaulat Abu Dhabi, Mubadala Investment Co, selain dana persaraan Kanada, kata individu itu.

Perbincangan masih di peringkat awal dan Aramco masih belum menerima sebarang komitmen yang padu, katanya.

Penasihat Aramco sedang mengatur pertemuan dengan beberapa pelabur utama berpotensi minggu ini dan minggu depan, kata individu itu.

Dana-dana terbabit boleh menolak tawaran berkenaan, katanya.

Aramco berharap kepada rakan perniagaan dan kerajaan yang mesra pelaburan untuk membantu mencapai penilaian yang dimahukannya sebanyak AS$2 trilion, walaupun selepas harga minyak susut lebih daripada 25 peratus sejak setahun lalu.

Ia melebarkan tawarannya bagi menarik minat yang mencukupi dalam usahanya mempercepatkan persiapan bagi penyenaraian itu, dengan sasaran diapungkan di bursa Arab Saudi seawal November ini.

PETRONAS bekerjasama dengan Aramco di kompleks penapisan dan petrokimia di Johor.

Aramco juga sudah memperdalamkan hubungannya di Asia, yang juga rantau pengguna minyak terbesar dunia, dengan pelbagai urus niaga penapisan dalam usahanya mengukuhkan penguasaan pasaran.

Ia bekerjasama dengan Sinopec dalam beberapa projek.

Kedua-dua syarikat mempunyai usaha sama penapisan dan petrokimia di wilayah tenggara China, Fujian.

Malah, sebuah unit gergasi penapisan minyak itu, Sinopec Oilfield Service Corp memeterai kontrak AS$340 juta bersama Aramco bagi empat pelantar pada Mac lalu, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai kontraktor penggerudian pesisir terbesar Aramco.

Firma China itu pada Julai lalu turut memeterai perjanjian bagi dua projek saluran paip di lapangan minyak Marjan milik Aramco.

-Bloomberg

Berita Harian X