Khamis, 26 September 2019 | 1:49pm

Gojek lancar perkhidmatan penstriman video dalam talian

JAKARTA: Firma e-hailing dan pembayaran Indonesia, Gojek semalam melancarkan perkhidmatan penstriman video yang menampilkan filem dan rancangan televisyen.

Ia usaha firma berkenaan untuk menceburi isi kandungan dalam talian di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, kata ketua unit hiburannya.

“Kami menyaksikan bahawa terdapat jurang di mana orang mahu menonton isi kandungan Indonesia yang bermutu tinggi, namun satu-satunya pilihan adalah pergi ke pawagam,” kata Ketua Eksekutif Hiburan Kumpulan Gojek, Edy Sulistyo kepada Reuters dalam satu temubual.

“Dengan ‘Goplay’, kami berada di sini untuk mengisi jurang itu dan merapatkan jutaan penonton mudah alih Indonesia kepada industri filem Indonesia,” tambahnya, merujuk kepada nama platform penstriman video baharu berkenaan.

Selepas berubah daripada perkhidmatan e-hailing yang diasaskan pada 2010 kepada menyediakan aplikasi sehenti yang membolehkan pengguna membuat pembayaran dalam talian dan menempah makanan, Gojek kini bercita-cita untuk merebut penguasaan lebih besar dalam pasaran Asia Tenggara, yang kini dikuasai oleh pesaingnya di Singapura, Grab.

Pelancaran platform video Indonesia itu menyaksikan syarikat pemula niaga berkenaan, yang kini bernilai AS$10 bilion berdasarkan pusingan terakhir penjanaan dana Julai lalu, bersaing dengan gergasi penstriman Amerika Syarikat (AS), Netflix; syarikat pemula niaga Malaysia, Iflix; dan rakan perniagaan Grab, HOOQ dalam perebutan untuk menguasai pasaran penstriman video yang pesat berkembang di Indonesia.

“Penembusan mudah alih di Indonesia mencapai 54 peratus, iaitu kira-kira 130 hingga 140 juta orang, justeru potensinya adalah sangat besar,” kata Sulistyo.

Pengembangannya ke dalam perkhidmatan penstriman video Gojek menjejaki pelancaran platform permainan video Indonesia bulan ini, dengan kerjasama pelabur strategik iaitu Google dan gergasi internet China, Tencent, dengan menawarkan isian kredit permainan serta tips e-sukan.

Gojek turut melabur dalam pemula niaga media digital akhir tahun lalu, dalam usahanya mengukuhkan pengembangannya ke dalam isi kandungan dalam talian.

Ekonomi internet Indonesia diunjurkan berkembang kepada AS$100 bilion menjelang 2025, menurut kajian pada 2018 oleh Google dan sayap pelaburan kerajaan Singapura, Temasek, kerana lebih ramai pengguna telefon pintar untuk melayari kandungan dalam talian.

-Reuters

Berita Harian X