Khamis, 26 September 2019 | 12:46pm

DRB Hicom raih manfaat daripada prestasi Proton yang lebih baik

KUALA LUMPUR: Dengan prestasi Proton yang lebih baik pada tahun ini dan syarikat dijangka pulih semula, DRB Hicom diunjurkan meraih manfaat.

AmInvestment dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, pelan Proton untuk pemasangan tempatan X70 di kilangnya di Tanjung Malim berada di landasan dengan komponen tempatan permulaan sekurang-kurangnya 30 peratus dan kumpulan itu merancang untuk meningkatkan komponen tempatan kepada 70 hingga 80 peratus menjelang 2023.

"Kami melihat ini positif berikutan ini akan menyebabkan kos lebih rendah dan mengurangkan turun naik pertukaran asing dalam pembuatan X70 dalam jangka masa panjang, membawa kepada margin keuntungan yang lebih baik untuk model SUV popular itu," katanya.

Katanya, pengenalan X50 CKD pada separuh kedua tahun depan dijangka meningkatkan lagi jualan Proton dan berdasarkan keputusan semasanya, Proton mencatatkan pendapatan positif untuk tempoh dua suku tahun yang lalu.

"Kami menganggap ini disebabkan jumlah jualan yang menarik berikutan pelancaran baharu X70, Iriz, Persona dan Saga pada 2019 yang mendapat sambutan baik," katanya.

Jumlah jualan Proton setakat ini pada tahun ini sebanyak 69,700 unit berbanding 49,200 unit dalam tempoh lapan bulan pertama tahun lalu, yang bersamaan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 42 peratus.

"Digabung dengan momentum kukuh yang berterusan bagi model itu, kami menjangka Proton akan kembali pulih pada tahun kewangan penuh 2019.

"Kami percaya pemulihan Proton adalah perlahan tetapi pasti menjadi kenyataan melalui momentum jumlah jualan yang mengagumkan apabila kumpulan itu mendapat semula keyakinan dan kepercayaan pengguna terhadap jenama Proton," katanya.

DRB Hicom adalah pemegang saham majoriti dalam pengeluar kereta nasional itu yang memiliki 50.1 peratus kepentingan, manakala syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd memegang baki pegangan sebanyak 49.9 peratus.

Katanya selain Proton, cabang pertahanan DRB, Deftech kini sedang berunding berhubung kontrak baharu.

"Kontrak Deftech yang membekalkan kenderaan berperisai AV-8 akan berakhir tidak lama lagi, pada 2020.

Pengurusan DRB-Hicom memberitahu kontrak baharu sedang dirundingkan dengan tentera Malaysia.

“Bagaimanapun, tiada butiran berhubung jenis produk. Kami percaya tiada masalah akan timbul dalam mendapatkan kontrak baharu berikutan Deftech kekal sebagai monopoli tempatan untuk membekalkan peralatan dan kenderaan pertahanan kepada tentera Malaysia," katanya.

Sehingga 9.44 pagi, saham DRB Hicom naik satu sen kepada RM2.37 dengan 639,800 unit diniagakan. - BERNAMA

Berita Harian X