Selasa, 24 September 2019 | 6:26pm
Malaysia Airlines turut membantu proses membawa pulang penumpang dari Sepanyol ke United Kingdom selepas Thomas Cook menghentikan operasi perniagaannya pada Isnin.

Malaysia Airlines bantu penumpang Thomas Cook terkandas

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines turut membantu proses membawa pulang penumpang dari Sepanyol ke United Kingdom selepas Thomas Cook menghentikan operasi perniagaannya pada Isnin.

Menerusi satu kenyataan ringkas kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, syarikat penerbangan negara itu berkata ia sedang menjalankan operasi bagi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UK (CAA).

Menurut kenyataan itu lagi, bagi tujuan berkenaan Malaysia Airlines menggunakan pesawat Airbus 380.

Bagaimanapun, Malaysia Airlines enggan mengulas mengenai bilangan penumpang yang dihantar pulang oleh syarikat penerbangan itu dan tempoh pembabitannya dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi British enggan mengulas ketika dihubungi, sebaliknya meminta pelanggan yang terjejas merujuk kepada kenyataan rasmi di https://thomascook.caa.co.uk/

CAA pada Isnin berkata, Thomas Cook Group, termasuk pengendali pelancongan dan syarikat penerbangan UK, turut menghentikan operasi mereka serta-merta.

Semua tempahan Thomas Cook, termasuk penerbangan dan percutian, kini dibatalkan, menjejaskan lebih 150,000 pelanggannya di luar negara.

Program membawa pulang itu akan dijalankan selama dua minggu, mulai 23 September hingga 6 Oktober, membabitkan lebih 1,000 penerbangan.

Pada Isnin, sebanyak 64 penerbangan telah dikendalikan dan berjaya membawa pulang lebih 14,700 penumpang.

-BERNAMA

Berita Harian X