Selasa, 24 September 2019 | 5:53pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mempersoalkan sama ada ketua-ketua Thomas Cook wajar menerima ganjaran yang tinggi. - Foto hiasan

Gaji tinggi pengarah Thomas Cook dipersoal

NEW YORK/LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mempersoalkan sama ada ketua-ketua Thomas Cook wajar menerima ganjaran yang tinggi selepas firma itu muflis sehingga memaksa kerajaan membawa balik ribuan rakyat yang terkandas.

Mengendalikan hotel, resort dan syarikat penerbangan untuk 19 juta orang setahun, Thomas Cook ketika ini mengendalikan 600,000 pelanggan di luar negara dan memerlukan bantuan kerajaan serta firma insurans untuk membawa mereka balik dari destiasi sejauh Cancun, Cuba dan Cyprus.

Bercakap di New York, Johnson mempersoalkan sama ada kerajaan perlu bertanggungjawab ke atas tindakan pengarah yang menerima bayaran tinggi dan berkata pengendali pelancongan sepatutnya memiliki insurans bagi berdepan masalah sedemikian.

“Saya ada soalan, sama ada adalah betul bagi pengarah, atau sesiapa saja dalam lembaga pengarah, menerima bayaran yang tinggi apabila perniagaan menghadapi masalah sedemikian,” kata Johnson.

“Anda memerlukan sistem yang mana pengendali pelancongan perlu mengambil perlindungan insurans sewajarnya bagi menghadapi keadaan seperti ini.”

Thomas Cook dibebani hutang sebanyak AS$2.1 bilion (RM8.8 bilion), yang dikumpul daripada beberapa siri urus niaga tidak menguntungkan, daripada usahanya untuk bersaing dengan penyedia perkhidmatan dalam talian.

Ia perlu menjual sehingga tiga juta pakej percutian setahun hanya untuk menampung bayaran faedah.

Dengan perniagaan semakin kehabisan tunai, Ketua Eksekutifnya, Peter Fankhauser mendapati penyedia pinjaman tidak lagi sanggup membantu.

Kerajaan Britain pula berkata ia tidak mahu ‘menghabiskan wang’ untuk menyokong penyelamatan syarikat itu.

Beberapa laporan berkata, kerajaan Turki dan sekumpulan hotel di Sepanyol sedia menyokong rancangan menyelamat 200 juta pound dengan jaminan kerajaan Britain.

Keruntuhan Thomas Cook, seperti yang diumumkan kelmarin, mencetuskan suasana kelam kabut di beberapa hotel di mana pelanggan diminta menjelaskan bil oleh pemilik resort.

“Saya rasa persoalan yang perlu ditanya sekarang adalah, bagaimana perkara ini boleh dihentikan daripada berlaku pada masa depan?” kata Johnson. - Reuters

Berita Harian X