Isnin, 23 September 2019 | 11:45am

Syarikat pengembaraan British, Thomas Cook, runtuh

LONDON: Syarikat pengembaraan tertua di dunia, Thomas Cook, runtuh, menyebabkan ratusan ribu pelancong di seluruh dunia terkandas dan mencetuskan usaha penghantaran balik terbesar dalam sejarah British.

Pembubaran syarikat itu menandakan berakhirnya satu daripada syarikat tertua Britain yang mula beroperasi pada 1841 menjalankan rombongan lawatan menggunakan kereta api sebelum ia bertahan dua perang dunia untuk merintis pakej percutian dan pelancongan massa.

Syarikat itu mengendalikan hotel, kawasan peranginan dan syarikat penerbangan kepada 19 juta pelanggan setahun di 16 negara.

Ia ketika ini mempunyai 600,000 pengembara di luar negara, memaksa kerajaan dan syarikat insurans menyelaraskan operasi menyelamat yang besar.

Ketua Eksekutifnya, Peter Fankhauser, berkata ia adalah satu perkara yang dikesali bahawa syarikat itu tidak lagi dapat berniaga selepas ia gagal mendapatkan pakej penyelamat daripada pihak bank.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) United Kingdom (UK) berkata, Thomas Cook tidak lagi beroperasi dan, pengawal selia dan pemerintah bersedia dengan angkatan pesawat untuk membawa pulang lebih daripada 150,000 pelanggan British yang terkandas dalam tempoh dua minggu akan datang.

Kerajaan dan badan kawal selia penerbangan UK berkata, disebabkan skala keadaan beberapa gangguan tidak dapat dielakkan. Semua penerbangan syarikat itu dibatalkan.

Pelanggan dimaklumkan supaya tidak ke lapangan terbang sehingga mereka dimaklumkan menerusi laman web khas - thomascook.caa.co.uk - bahawa mereka akan diterbang pulang di atas dianjurkan pihak kerajaan.

Pengawal selia Britain juga menghubungi hotel yang menempatkan pelanggan Thomas Cook supaya memaklumkan pelanggannya bahawa penginapan mereka akan dibayar kerajaan, melalui skim insurans.

Ia susulan beberapa pengembara terkandas buat seketika di sebuah hotel di Tunisia kerana kakitangan hotel meminta bayaran tambahan.

Kegagalan syarikat itu berpotensi mencetuskan senario yang tidak terkawal di seluruh dunia, dengan pelancong terkandas di hotel yang belum dibayar di lokasi sejauh Goa, Gambia dan Greece.

Dalam jangka panjang, ia juga boleh menjejaskan sektor pelancongan di destinasi utama syarikat itu, seperti Sepanyol dan Turki, dan memaksa penutupan beratus-ratus ejen pelancongan di Britain.

Thomas Cook menanggung beban hutang sebanyak 1.7 bilion pound (AS$2.1 bilion), persaingan dalam talian, perubahan pasaran pelancongan dan pengembaraan dan persekitaran geopolitik. - Reuters

Berita Harian X