Selasa, 17 September 2019 | 2:42pm

TNB kekal dominan dalam industri tenaga negara

Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan kekal dominan dalam sektor tenaga negara sebagai pengendali sistem grid dan pengedaran tenaga, meskipun pelaksanaan dasar Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 (2019-2025) bakal memecah monopolinya dalam pembekalan bahan api, penjanaan tenaga dan peruncitan tenaga.

MESI 2.0 adalah inisiatif 10 tahun Kerajaan Pusat membawa pembaharuan secara berperingkat kepada sektor tenaga Semenanjung, termasuk membuka penyertaan peserta baharu dalam pemerolehan bahan api; pengenalan pasaran elektrik borong, perkhidmatan runcit dan dagangan tenaga hijau, supaya lebih berdaya saing.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin, berkata kementerian sudah mengadakan rundingan dengan TNB berhubung pembukaan monopoli itu dan gergasi tenaga negara itu mengetahui peluang yang boleh diteroka menerusi MESI 2.0.

Katanya, TNB akan terus menjadi pesaing utama industri khususnya dalam elektrifikasi, meneroka tenaga boleh diperbaharui (RE), mengkaji potensi cabang perniagaan baharu, termasuk dalam ekosistem kereta elektrik (EV) serta memanfaatkan infrastruktur gentian optik mereka untuk peluang bersama syarikat telekomunikasi.

“Banyak peluang untuk mereka (TNB) pada masa depan lebih-lebih lagi gelombang elektrifikasi dijangka menyediakan banyak peluang kepada TNB, pekerja mereka dan peserta industri lain.

“TNB adalah perintis tenaga di negara ini, mereka menguasai pasaran dan memiliki pengalaman yang lama dalam industri, bukan mudah untuk bersaing dengan TNB tidak semudah yang disangkakan dan saya yakin TNB boleh bersaing,” katanya dalam satu temu bual ekslusif di Putrajaya, baru-baru ini.

Ketika ini, TNB yang memiliki kira-kira 35,000 pekerja menguasai keseluruhan rantaian pembekalan tenaga negara daripada pemerolehan bahan api arang batu, penjanaan tenaga, pengendali sistem grid Transmisi dan Pengedaran, serta bahagian peruncitan pelanggan.

Berdasarkan struktur tarif semasa, bahagian grid menyumbang 11.2 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) atau bersamaan 29 peratus berbanding keseluruhan tarif purata 39.5 sen/kWj.

Sementara itu, Bee Yin, berkata langkah membuka persaingan pemerolehan bahan api kepada pembekal gas dan arang batu lain dijangka tidak memberi kesan secara jangka pendek atau sederhana kepada keuntungan PETRONAS dan TNB.

Ketika ini, bekalan bahan api arang batu untuk jana kuasa tenaga elektrik dikendalikan TNB manakala gas pula oleh PETRONAS.

Katanya, tanpa insentif untuk mendapatkan bahan api arang batu pada harga murah menyebabkan TNB kini beroperasi dalam marjin yang kecil daripada hasil jualan TNB-F.

“MESI 2.0 membuka saingan untuk pembekalan bahan api dan pasaran runcit, namun saya berpendapat keuntungan mereka tidak akan terjejas kerana bagi TNB masih memonopoli grid dan ia sesuatu yang besar jika dilihat dari segi struktur tarif.

“Manakala pesaing PETRONAS juga memerlukan masa yang sangat panjang untuk menentukan sama ada mahu menjadi peserta bersaing dalam segmen ini kerana ia memerlukan pelaburan besar sedangkan PETRONAS dan TNB sudah memiliki kehadiran kukuh dalam industri,” katanya.

Berita Harian X