Khamis, 12 September 2019 | 7:23pm
KETUA Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi. - Foto Rohanis Shukri

Operasi Celcom seperti biasa selepas batal penggabungan

PETALING JAYA: Hala tuju operasi perniagaan Celcom Axiata Bhd tidak terjejas sama sekali susulan pembatalan cadangan penggabungan di antara syarikat induknya, Axiata Group Bhd dengan Telenor ASA yang diumumkan pada Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi, berkata sebaliknya pihaknya meneruskan operasi perniagaan seperti biasa termasuk melancarkan produk baharu seperti yang sudah dirancang sebelum ini.

"Tidak (terjejas). Bagi Celcom, kami sentiasa fokus kepada kerja seperti biasa walaupun sewaktu perbincangan mengenai penggabungan itu berlaku.

"Kami sentiasa fokus kepada pasaran dan menjadi juara dalam pasaran, fokus dalam pelancaran produk dan menarik lebih ramai pelanggan. Dari segi persaingan, pasaran masih kekal dari segi jumlah peserta telekomunikasi (selepas pembatalan cadangan penggabungan).

"Ya, pasaran adalah kompetitif. Ia adalah baik, tetapi persaingan yang terlalu sengit mungkin untuk jangka panjang boleh memberi impak negatif. Jadi, kami harap tahap persaingan yang sihat dapat dikekalkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat media prestasi perniagaan Celcom Axiata di sini, hari ini.

Pada separuh pertama tahun ini, Celcom mencatat pendapatan sebanyak RM3.33 bilion, susut 7.9 peratus berbanding RM3.61 bilion pada separuh pertama 2018.

Namun begitu, kumpulan itu mencatat kenaikan 11.7 peratus dalam keuntungan bersihnya pada tempoh dikaji iaitu RM365 juta berbanding RM327 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Mengenai perbelanjaan modal (Capex), Idham berkata, pihaknya memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk tahun ini, sedikit kurang berbanding RM1.1 bilion pada tahun lalu.

Katanya, pada separuh pertama tahun ini, kumpulan telah membelanjakan RM394 juta untuk Capex membabitkan rangkaian.

“Celcom akan melabur dalam penggunaan teknologi end-to-end seperti 4T4R multiple input, multiple output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan banyak lagi di tapak menara LTE Celcom ke arah penyampaian penyambungan internet dan pengalaman digital yang terbaik," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga akan memperhebatkan lagi fokus ke arah keuntungan dan kecemerlangan operasi dengan pelaburan pintar.

Ia meliputi langkah meningkatkan infrastruktur rangkaian pada kos operasi yang minimum dan menerokai bidang baharu untuk pertumbuhan dalam segmen perniagaan dan perusahaan.

Berita Harian X