Jumaat, 2 Ogos 2019 | 4:25pm

Strategi konvergens pacu prestasi kukuh Maxis

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan prestasi kukuh didorong oleh perniagaan mudah alih yang berdaya tahan seiring dengan strategi konvergens.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut, berkata Maxis meningkatkan perniagaan mendapatkan peluang dalam penyelesaian konvergens di semua segmen.

Beliau berkata, Maxis mencapai kemajuan yang sangat baik dalam melaksanakan pelan pertumbuhan lima tahun ke arah menjadi syarikat perkhidmatan digital konvergens yang unggul di Malaysia, di samping mengekalkan kepimpinan dalam perniagaan teras mudah alih.

“Bagi suku kedua 2019, Maxis menyaksikan pergerakan ke hadapan dalam impian konvergens dengan pelancaran kelajuan fiber terbaharu yang memberikan penyelesaian pintar untuk perniagaan dan menyokong inisiatif Revolusi Industri 4.0, sejajar dengan agenda ekonomi digital kerajaan serta potensi 5G pada masa depan.

“Untuk tujuan ini, percubaan langsung 5G kami berjalan lancar. Kami terus berada di hadapan dalam membawa teknologi terbaru ke Malaysia.

“Keseluruhannya, kami akan terus fokus kepada menawarkan penyelesaian dan perkhidmatan yang disesuaikan untuk individu, kediaman dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku kedua 2019 yang berakhir 30 Jun lalu, Maxis mencatatkan keuntungan selepas cukai yang tinggu di sokong pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan margin EBITDA yang kukuh serta berada pada landasan kukuh.

Maxis juga merekodkan pertumbuhan konsisten dalam pelanggan pascabayar dan fiber, serta penstabilan berterusan dalam

segmen prabayar.

Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh permintaan yang kukuh untuk proposisi sambungan berkongsi yang menarik, serta rancangan pemilikan peranti inovatif dari Maxis.

Maxis juga meningkatkan perniagaan untuk mendapatkan peluang dalam penyelesaian konvergens di semua segmen dengan pelancaran perkhidmatan NB-IoT komersial pertama di pusat pasaran utama IoT dan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Digital Malaysia (MDEC) untuk mempromosikan pembangunan ekosistem tempatan.

Bagi suku kedua, Maxis mencatatkan peningkatam pendapatan perkhidmatan sebanyak 0.6 peratus kepada RM1.887 bilion daripada RM1.876 bilion pada suku pertama 2019.

Manakala, hasil perkhidmatan secara keseluruhan termasuk borong, turun 1.5 peratus kepada RM1.918 bilion berbanding RM1.947 bilion pada suku sebelumnya.

Berita Harian X