Rabu, 31 Julai 2019 | 7:44pm

AMMB dalam landasan kukuh, prospek positif

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd, syarikat induk Kumpulan AmBank, positif dengan prospek bank itu di sebalik pandangan berhati-hati diberikan oleh kebanyakan penganalisis berhubung sektor perbankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata walaupun bank itu masih berada di kedudukan nombor enam dari segi saiz, ketika ini ia menduduki nombor satu bagi pertumbuhan pendapatan.

"Perniagaan baharu melindungi pendapatan kami apabila kami memulakan Strategi 4 Teratas pada 2016,” katanya.

Menurutnya antara lain, kumpulan juga meneruskan usahanya untuk mengembangkan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan memahami persekitaran dan kedinamikan pasaran PKS.

Beliau berkata bank itu sebelum ini dikenali dengan memberi tumpuan pada dua portfolio, iaitu jual beli dan korporat.

Bagaimanapun, ia melihat kepada potensi segmen perniagaan PKS, yang mencatatkan pertumbuhan pinjaman dua angka berbanding dengan tujuh atau lapan peratus dalam industri itu secara menyeluruh.

"Apabila kami mahu beralih untuk menjadi penggiat dan pemacu dalam PKS berhubung pinjaman, kami tahu ia ruang yang sedang berkembang. Ia bukan untuk merampas perkongsian pasaran, tetapi memberi pinjaman kepada pasaran yang sedang berkembang, sekali gus memberi lebih nilai kepada pemegang saham," katanya.

Sulaiman berkata, ia juga akan terus memacu pertumbuhan pendapatan dan deposit akaun semasa dan simpanan (CASA), serta menguruskan kos secara berhemah menerusi program BET300.

Program BET300 adalah transformasi keberkesanan perniagaan tiga tahun yang bermatlamat untuk mencapai penjimatan kos kasar sebanyak RM300 juta membabitkan seluruh kumpulan itu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019, kumpulan itu mencapai penjimatan kos sebanyak RM112 juta.

“Kami telah bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi, termasuk syarikat telekomunikasi seperti Digi dan Maxis, dengan kami memanfaatkan hubungan itu untuk membantu PKS, khususnya untuk membuka CASA dengan pihak kami.

“Selain itu, kami juga sedang melaksanakan projek rintis untuk mempunyai lebih banyak wadah digital, termasuk SME-in-a-box, platform digital untuk membantu PKS mencari penyelesaian yang betul untuk menguruskan perniagaan mereka,” kata Sulaiman.

Beliau berkata, untuk mempercepatkan pelbagai tranformasi digital dalam kumpulan, perbelanjaan modal sebanyak RM100 juta diperuntukkan setiap tahun.

Dalam Strategi 4 Teratas, ia menyasarkan kedudukan empat teratas dalam pertumbuhan segmen terdiri daripada kekayaan massa, kekayaan, PKS dan korporat pertengahan.

Ia juga menyasarkan tempat empat teratas dalam produk utama iaitu kad, pedagang, transaksi perbankan dan pengurusan kekayaan.

Di samping itu, bank menyasarkan kedudukan empat teratas dalam enjin pertumbuhan sedia ada iaitu pengurusan aset, pinjaman korporat dan pasaran modal hutang, serta turut bercita-cita untuk muncul antara empat majikan terbaik di Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X