Rabu, 31 Julai 2019 | 8:36am
Samsung Electronics Co Ltd mencatatkan penyusutan 56 peratus dalam keuntungan operasi suku kewangan kedua. - Foto AFP
Samsung Electronics Co Ltd mencatatkan penyusutan 56 peratus dalam keuntungan operasi suku kewangan kedua. - Foto AFP

Untung suku kedua Samsung Electronics jatuh 56%

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd mencatatkan penyusutan 56 peratus dalam keuntungan operasi suku kewangan kedua disebabkan terutamanya oleh penurunan harga cip memori di tengah-tengah lebihan penawaran di pasaran.

Ia mencatat keuntungan operasi 6.6 trilion won (AS$5.6 bilion) pada suku dikaji, sejajar 6.5 trilion won yang dianggarkan syarikat itu awal bulan ini.

Industri cip memori yang bersifat kitaran itu, kini berhadapan kelembapan permintaan selepas dua tahun melonjak, ketika mana permintaan yang semakin perlahan terhadap peranti seperti telefon pintar menarik turun harga cip.

Gergasi cip Korea itu juga berhadapan sekatan Jepun berhubung eksport bahan-bahan utama, persengketaan diplomatik terkini antara Seoul dan Tokyo yang berkait isu buruh paksa sewaktu perang dunia sebelum ini.

Samsung dalam satu kenyataan berkata, permintaan cip memori dijangka berkembang pada separuh kedua, disokong pembelian oleh pelanggan pelayan DRAM.

Minggu lalu, pesaing cip Korea Selatan, SK Hynix berkata ia akan mengurangkan pelaburan dan pengeluaran bagi mempercepatkan pemulihan dalam permintaan cip.

Perniagaan cip itu kekal penyumbang pendapatan utama kepada Samsung tetapi ia dilaporkan mencatat kejatuhan ketara 71 peratus kepada 3.4 trilion won dalam keuntungan operasi, daripada 11.6 trilion won tempoh sama tahun lalu.

Perniagaan mudah alih mencatatkan keuntungan 1.6 trilion won dalam suku dikaji, turun 42 peratus berbanding tahun lalu, kata Samsung, ditarik turun jualan perlahan model-model utama dan perbelanjaan pemasaran yang meningkat. - Reuters

Berita Harian X