Khamis, 25 Julai 2019 | 5:11pm

Hartalega sedia modal RM630 juta perluas kilang

SEPANG: Pengeluar sarung tangan, Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) memperuntukkan RM630 juta untuk perbelanjaan modal bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Kuan Mun Leong berkata perbelanjaan modal itu akan digunakan bagi tujuan pengembangan dua lagi kilang pengeluarannya di Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) milik Hartalega yang terletak di sini.

Beliau berkata, kilang terbabit dikenali sebagai Kilang Enam dan Kilang Tujuh, tambahan kepada lima kilang sedia ada yang sudah beroperasi di NGC pada masa ini.

“Kilang Enam dijangka boleh mula beroperasi pada separuh pertama 2020 manakala operasi Kilang Tujuh pula akan menyusul pada separuh kedua tahun yang sama.

“Pertambahan operasi daripada kedua-dua kilang berkenaan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 42 bilion keping sarung tangan setahun berbanding 34 bilion keping sarung tangan setahun yang dikeluarkan pada masa ini.

“Tambahan kapasiti itu akan membantu pasaran mengekalkan keseimbangan permintaan dan bekalan,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan kilang bersama media di NGC di sini, hari ini.

Sehingga kini, Hartalega melabur RM1.8 bilion ke atas NGC daripada peruntukan RM1.9 bilion yang diumumkan pada 2012.

Jumlah peruntukan berkenaan dijangka meningkat kepada RM2.5 bilion berikutan pemasangan lebih banyak teknologi canggih di kilangnya.

Mengulas lanjut, Mun Leong berkata Hartalega akan terus menjadi peserta dominan dalam segmen sarung tangan nitril.

“Pada masa ini, kami adalah pengeluar sarung tangan nitril terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 34 bilion keping setahun.

“Selain mahu terus mengukuhkan kedudukan berkenaan, kami juga menyasarkan purata pertumbuhan kapasiti sebanyak 10 peratus setahun bagi tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Berita Harian X