Jumaat, 12 Julai 2019 | 5:48pm
DIGI.com Bhd.

Prestasi suku kedua Digi kukuh

KUALA LUMPUR: Digi.com Bhd (Digi) mencatatkan pretasi kukuh pada suku kedua 2019, mencerminkan keupayaan syarikat untuk memacu perniagaan yang mapan dengan margin yang mantap dan kekal berdaya tahan dalam pasaran mencabar.

Bagi suku dikaji, Digi mencatatkan pendapatan perkhidmatan RM1.451 bilion serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) RM752 juta, atau margin 49 peratus.

Usaha syarikat untuk memberikan lebih banyak nilai dan pengalaman digital kepada pengguna menyaksikan maklum balas yang kukuh, dengan pertumbuhan berterusan dicerminkan dalam pendapatan pasca bayar serta internet.

Sementara itu, pendapatan prabayar stabil dengan penggunaan internet terus mengatasi penggunaan perkhidmatan suara dalam sehmen ini.

Digi membuat pelaburan modal RM261 juta atau 18.6 peratus daripada pendapatan perkhidmatannya pada suku kedua 2019, untuk mempercepat keupayaan teknologi yang akan mengaktifkan peluang pertumbuhan pada suku akan datang.

Ini termasuklah penambahbaikan keupayaan teknologi maklumat (IT), kapasiti rangkaian, naik taraf liputan, penambahan rangkana fiber dan penggunaan Rangkaian Fungsi Maya (NFV).

Rangkaian Digi kini menghubungkan 11.4 juta pengguna, menyediakan perkhidmatan dengan 4G LTE di 90 peratus kawasan berpenduduk, 70 peratus liputan LTE-A dan rangkaian fiber 9,100 kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty, berkata syarikat menyasar untuk memperdalam keupayaan pengguna dan usaha pendigitalan bagi memacu pengalaman pelanggan berbeza, sekali gus menghubungkan rakyat Malaysia dengan perkhidmatan yang bermakna untuk mereka.

“Kami sudah mula melaksanakan strategi ini dan kekal berdaya tahan di tengah-tengah persekitaran pasaran mencabar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X