Selasa, 2 Julai 2019 | 4:31pm
E.A. Technique (M) Bhd

E.A. Technique rancang proses langsai hutang

KUALA LUMPUR: E.A. Technique (M) Bhd merancang melaksanakan proses penyelesaian hutang kepada pemegang saham utamanya, Sindora Bhd, berjumlah RM57.16 juta menerusi terbitan 121.62 juta saham baharu pada 47 sen sesaham dalam syarikat.

Terbitan saham itu mungkin menyebabkan tebaran pemegangan saham awam syarikat itu berkurangan daripada 25 peratus, kata penyedia pengangkutan marin itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

E.A. Technique turut merancang tawaran saham persendirian sehingga 106.36 juta saham baharu, mewakili kira-kira 17 peratus jumlah terbitan saham diperbesar.

Sejumlah 19.15 juta penempatan saham persendirian itu akan diperuntukkan kepada pengarah urusannya, Datuk Ir Abdul Hak Md Amin, 25.53 juta saham penempatan kepada Sindora manakala bakinya sebanyak 61.68 juta saham kepada pelabur bebas pihak ketiga yang akan ditentukan pada tarikh lain, katanya.

Selain itu, E.A. Technique merancang menerbitkan sehingga 365.98 juta waran percuma pada asas satu waran kepada dua saham sedia ada yang dipegang sehingga tarikh hak yang akan ditentukan kemudian.

“Berdasarkan harga pelaksanaan sebanyak 55 sen, cadangan terbitan waran percuma itu dijangka meningkatkan keuntungan kasar sebanyak RM201.3 juta, dengan andaian proses waran berkenaan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X