Rabu, 26 Jun 2019 | 6:30pm
AHLI Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Edham Reza Shah Abdul Rahman (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rakyat Management Services (RMS), Mohd Shaifuddin Abdullah (kanan); Naib Presiden Ar-Rahnu, Dr Mokhrazinim Mokhtar (kiri) dan Ketua Pembiayaan Runcit Bank Rakyat, Fatayal Anshori Abdussyukur (dua kiri) pada sidang media kempen emas 2 Kilo Bank Rakyat di Hilton Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
AHLI Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Edham Reza Shah Abdul Rahman (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rakyat Management Services (RMS), Mohd Shaifuddin Abdullah (kanan); Naib Presiden Ar-Rahnu, Dr Mokhrazinim Mokhtar (kiri) dan Ketua Pembiayaan Runcit Bank Rakyat, Fatayal Anshori Abdussyukur (dua kiri) pada sidang media kempen emas 2 Kilo Bank Rakyat di Hilton Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Bank Rakyat sasar pertumbuhan perniagaan Ar-Rahnu

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasarkan pertumbuhan pengeluaran pinjaman Ar-Rahnu melebihi 20 peratus menerusi Kempen Emas 2 Kilo yang berakhir 27 Oktober ini.

Ketua Pembiayaan Runcitnya, Fatayal Anshori Abdussyukur, berkata menerusi kempen berkonsepkan ‘Pajak dan Menang’ yang bermula esok itu, Bank Rakyat turut menjangkakan pertambahan pelanggan sehingga lima peratus daripada 710,000 pelanggannya ketika ini.

“Kempen ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu dan Ar-Rahnu X’Change bagi meraih pinjaman sehingga RM350,000.

“Menerusi Kempen Emas 2 Kilo ini, sebanyak 26 hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM400,000 atau dua kilogram emas ditawarkan bersempena dengan 26 tahun pinjaman ini diperkenalkan oleh Bank Rakyat,” katanya kepada media selepas pelancaran kempen itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Perniagaan Ar-Rahnu Bank Rakyat, Dr Mokhrazinin Mokhtar.

Pemenang hadiah utama Kempen Emas 2 Kilo akan memenangi emas sdeberat satu kilogram yang akan diumumkan selepas kempen berakhir. Hadiah lain yang ditawarkan termasuk enam seberat 500 gram, 150 gram, dan 22 pemenang emas seberat 10 gram.

Pelanggan boleh menyertai kempen berkenaan di 185 cawangan Bank Rakyat dan 74 francais Ar-Rahnu X’Change.

Fatayal Anshori berkata, Ar-Rahnu adalah antara plaform Bank Rakyat dalam menyokong kelestarian usaha membangunkan usahawan.

“Menerusi Ar-Rahnu, kita boleh melahirkan lebih ramai usahawan menerusi penjanaan modal dengan cepat.

“Sehubungan itu, kempen ini bertujuan untuk mendidik masyarakat bahawa emas menjadi satu aset yang boleh dilaburkan untuk meningkatkan taraf ekonomi individu dan berupaya menjana ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Bank Rakyat memperkenalkan Kempen Emas 1 Kilo yang berlangsung pada 1 Ogos 2017 hingga 31 Julai 2018.

Menerusi kempen berkenaan, perniagaan Ar-Rahnu Bank Rakyat berjaya merekodkan peningkatan pengeluaran pinjaman sebanyak 20.24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Berita Harian X