Sabtu, 22 Jun 2019 | 1:59pm

ABM manfaat inovasi digital

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) memanfaatkan inovasi digital dalam perkhidmatan kewangan untuk meluaskan akses kepada perkhidmatan perbankan dan pembayaran.

Dalam kenyataan semalam, ia berkata usaha itu akan membolehkan pelanggan mempunyai pilihan yang lebih luas dari segi produk dan perkhidmatan selain akses yang lebih baik kepada perkhidmatan perbankan.

Persatuan itu berkata, perkhidmatan digital yang ditawarkan oleh ahlinya meliputi pembiayaan dalam talian untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan platform rujukan pinjaman ,imSME, dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

ImSME adalah saluran eksklusif bagi PKS untuk mengakses pilihan pinjaman termasuk pilihan pembiayaan tidak bercagar, katanya.

“Platform ini membolehkan PKS mengakses maklumat dengan pantas dan pada masa nyata mengenai pilihan pembiayaan mudah, mencari pembiayaan di bank-bank yang menyertai dan memohon pembiayaan daripada platform tunggal," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ABM menggalakkan pembeli rumah individu yang berpotensi menyertai RUMAHKU, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), modul pendidikan kewangan percuma dalam talian bagi pinjaman rumah di https://learn.akpk.org.my/courses/rumahku-english/.

Ia berkata modul ini bertujuan membimbing, memberi maklumat dan pengetahuan, khususnya kepada bakal pembeli rumah pertama kali sebelum mereka memohon pinjaman, serta mengajar pembeli rumah tentang cara membuat penilaian ke atas kemampuan masing-masing.

-- BERNAMA

Berita Harian X