Khamis, 20 Jun 2019 | 5:53pm
Ketua Perbankan Pengguna, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Zury Rahimee Zainal Abiden, bergambar bersama pemenang ketika majlis Perasmian kempen Jom Pindah Ar-Rahnu dan Menang 1kg emas serta penyampaian hadiah di Menara Bumiputera, Jalan Melaka, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Perbankan Pengguna, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Zury Rahimee Zainal Abiden, bergambar bersama pemenang ketika majlis Perasmian kempen Jom Pindah Ar-Rahnu dan Menang 1kg emas serta penyampaian hadiah di Menara Bumiputera, Jalan Melaka, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kempen Bank Muamalat tawar hadiah emas

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasarkan pertumbuhan nilai gadaian sebanyak RM50 juta menjelang suku pertama tahun depan menerusi Kempen Jom Pindah Ar-Rahnu & Menang 1KG Emas.

Ketua Jabatan Perbankan Penggunanya, Zury Rahimee Zainal, berkata menerusi kempen yang bermula pada 1 Jun 2019 dan berakhir Mac 2020 itu, pelanggannya juga dijangka bertambah kepada 50,000 orang berbanding 27,000 ketika ini.

“Sebelum ini, Ar-Rahnu Bank Muamalat kurang dikenali perkhidmatan Ar-Rahnu yang berada di pasaran.

“Dengan kempen ini, kami berharap lebih ramai akan menggunakan khidmat pajak gadai kami yang terbukti lebih telus dan kadar upah simpannya juga lebih rendah berbanding pajak gadai konvensional lain,” katanya selepas merasmikan kempen berkenaan di sini, hari ini.

Menerusi kempen berkenaan, Bank Muamalat menawarkan hadiah utama berupa satu kilogram kepingan emas (999), kedua berupa 100 gram kepingan emas (999) dan hadiah ketiga berupa 50 gram kepingan emas (999).

Bagi menarik lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan Ar-Rahnunya, Bank Muamalat turut menawarkan hadiah kepingan emas (999) secara bulanan kepada 200 pelanggan terpilih sepanjang kemoen berlangsung.

Kempen Jom Pindah Ar-Rahnu & Menang 1KG Emas adalah siri kedua selepas kejayaan siri pertama Kempen Ar-Rahnu & Menang yang diadakan pada 1 Ogos 2018 hingga 31 Mac 2019.

Zury berkata, menerusi kempen pertama itu Ar-Rahnu Bank Muamalat mencatat pertumbuhan nilai gadaian sebanyak RM26.9 juta sepanjang tempoh kempen dengan purata pertambahan akaun baharu sebanyak 2,700 sebulan.

Pada majlis itu, Bank Muamalat turut menyampaikan hadiah kepada pemenang siri pertama kempen Ar-Rahnu.

Hadiah utama berupa Muamalat Gold Akaun bernilai 1 kilogram emas dimenangi oleh Shahruddin Mohamad Nor, diikuti Abd Ghani Abdullah yang memenangi Muamalat Gold Akaun bernilai RM8,000 sementara ketiga, Muamalat Gold Akaun bernilai RM5,000 dimenangi P Selva Kumaran.

Berita Harian X