Rabu, 29 Mei 2019 | 4:30pm
Presiden dan Ketua Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim. - NSTP/Salhani Ibrahim
Presiden dan Ketua Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim. - NSTP/Salhani Ibrahim

Tiada halangan besar Axiata-Telenor bergabung

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd (Axiata) menjangkakan cadangan penggabungannya dengan operator mudah alih dari Norway, Telenor ASA dapat direalisasikan menjelang suku ketiga 2020.

Presiden dan Ketua Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata pihaknya tidak melihat sebarang halangan sebelum perjanjian penggabungan dimeterai dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan lagi.

Katanya, beliau secara peribadi juga yakin dengan penggabungan berkenaan kerana ia telah mendapat ‘restu’ daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan sayap pelaburan negara itu sendiri memahami rasional di sebalik apa yang dirancang.

“Pada masa ini, kami sudah memulakan kajian ketekunan, yang mana kami akan menilai aspek keuntungan dan kerugian, pemilikan, liabiliti dan sebagainya.

“Proses ini dijangka mengambil masa selama tiga hingga enam bulan sebelum kedua-dua pihak memeterai perjanjian. Bagaimanapun, faktor utama yang boleh menjadi penghalang adalah kelulusan selepas perjanjian berkenaan dimeterai.

“Ataupun mungkin juga berlakunya perkara besar di masa akan datang yang kita tidak boleh jangka pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 Axiata di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid.

Pada 6 Mei lalu, Axiata dan Telenor mengumumkan sedang berunding menubuhkan entiti global yang baharu, MergedCo, dengan menggabungkan operasi mereka dalam pasaran ASEAN serta Asia Tenggara.

Cadangan urus niaga berkenaan, bertujuan membolehkan MergedCo menyatukan kombinasi pengalaman, skala, kecekapan dan pengalaman kedua-dua syarikat yang luas dalam menerajui serta menguruskan pasaran sempadan dan pasaran baru muncul.

Dari sudut domestik, pelan yang dirancangkan adalah untuk menggabungkan Celcom dan Digi menjadi MalaysiaCo.

Mengulas lanjut, Jamaludin berkata selepas kedua-dua pihak memeterai perjanjian, kelulusan daripada pihak berkepentingan masih diperlukan.

“Ia harus diperoleh di semua negara yang mempunyai operasi kami. Di negara ini, kami perlu melalui proses Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), yang mana semua pemegang saham termasuklah Khazanah, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai hak untuk mengundi.

“Malah, kerajaan juga menerusi organisasi berkenaan juga boleh menyatakan pendirian mereka. Walau apa pun, kami (Axiata) perlu kekal positif mengenainya,” katanya.

Berita Harian X