Selasa, 28 Mei 2019 | 8:04am

Scomi dedah langkah korporat perkukuh kedudukan kewangan

KUALA LUMPUR: Scomi Group Bhd (SGB) bercadang melaksanakan siri langkah korporat, termasuk pengurangan modal saham, penyatuan empat saham untuk satu dan hak menerbitkan saham dengan waran, bagi memperkukuh kedudukan kewangannya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penyelesaian medan minyak dan pengangkutan itu berkata ia bercadang mengurangkan modal saham terbitannya daripada RM224.96 juta kepada RM40 juta.

Ini akan meningkatkan kredit cukai sebanyak RM184.96 juta yang mungkin digunakan untuk mengurangkan kerugian dalam masa terdekat, katanya.

Syarikat itu juga bercadang untuk menyatukan setiap empat saham sedia ada di SGB kepada satu saham SGB serta membuat terbitan hak boleh lepas sehingga tiga saham hak dengan satu waran boleh lepas percuma bagi setiap saham yang disatukan.

Pada harga terbitan 18 sen sesaham, cadangan panggilan tunai itu akan menjana antara RM75.59 juta dan RM214 juta, kata SGB.

Di bawah senario minimum, bahagian terbesar daripada dana dijana akan digunakan bagi pembayaran pendahuluan daripada Scomi Energy Services Bhd, anak syarikat 65.65 peratus miliknya, dan penyelesaian tunai RM23 juta kepada Maybank.

Tambahan sebanyak RM15 juta daripada jumlah penyelesaian akan dibayar dengan menerbitkan saham gabungan SGB kepada bank itu.

Jika senario maksimum dicapai, SGB akan memperuntukkan bahagian terbesar, sebanyak RM104.43 juta, untuk modal kerja.

SGB menjangka cadangan itu akan selesai pada separuh kedua tahun ini.

Saham syarikat itu turun satu sen untuk ditutup pada 7.5 sen semalam. - BERNAMA

Berita Harian X