Isnin, 27 Mei 2019 | 6:06pm

Malaysia Airlines, Japan Airlines jalin usaha sama

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Japan Airlines Co Ltd (JAL) memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai meneruskan perjanjian perniagaan bersama bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kedua-dua syarikat penerbangan itu.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat berkata perniagaan bersama itu membawa fasa baharu di samping menawarkan lebih banyak nilai kepada pelanggan.

“Tambahan kepada itu, MAB dan JAL juga mahu menjalin kerjasama dalam skop lebih luas seperti bertukar amalan terbaik, mengkaji usaha sama dalam bidang operasi yang lain seperti kargo dan membangunkan pelancongan bersama di kedua-dua pasaran,” kata kenyataan itu.

Syarikat berkenaan berkata, permohonan sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun bagi memohon pengecualian/imuniti daripada undang-undang anti-amanah.

“Sekiranya diluluskan, kedua-dua syarikat penerbangan akan menawarkan opsyen perjalanan mudah dan selesa kepada pelanggan menerusi rangkaian komprehensif di Malaysia dan Jepun, serta berhasrat memulakan perniagaan bersama itu pada 2020 bersempena dengan Olimpik Tokyo,” kata menurut kenyataan itu.

Kedua-dua syarikat penerbangan mula menawarkan operasi penerbangan perkongsian kod antara Jepun dan Malaysia pada 2012 ketika MAB memutuskan untuk menyertai perikatan Oneworld.

Ketika ini, Malaysia Airlines mengendalikan perkhidmatan 12 kali seminggu, manakala Japan Airlines mengendalikan perkhidmatan tujuh kali seminggu, mewakili sebanyak 19 kali penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur-Tokyo.

Malaysia Airlines turut mengendalikan perkhidmatan harian dari Kuala Lumpur ke Osaka dan perkhidmatan dua kali seminggu dari Kota Kinabalu ke Tokyo.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail, berkata perkongsian berkenaan menawarkan peningkatan kecekapan dan rangkaian lebih komprehensif kepada pelanggan dan pada masa sama memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

“Bermulanya perniagaan bersama ini amat penting terhadap pelan peniagaan jangka panjang kami yang bakal menerokai lebih banyak peluang strategik serta menjalin lebih banyak kerjasama,” katanya.

Sementara itu, Presiden JAL, Yuji Akasaka berkata usaha sama itu berpotensi meningkatkan lagi trafik penumpang antara kedua-dua negara dan membuka peluang komersial.

Berita Harian X