Khamis, 23 Mei 2019 | 12:35pm
Ketua Pegawai Eksekutif Silterra Malaysia Sdn Bhd, Firdaus Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif Silterra Malaysia Sdn Bhd, Firdaus Abdullah.

SilTerra laksana pelan imbangi impak perang dagangan

KUALA LUMPUR: Ketika perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China semakin meningkat, penggiat barangan elektrik dan elektronik (E&E) tempatan, mengharapkan keadaan kembali pulih.

Ini disebabkan ketegangan perdagangan yang semakin buruk antara kedua-dua kuasa ekonomi besar itu melembabkan lagi sektor E&E.

Ketua Pegawai Eksekutif Silterra Malaysia Sdn Bhd, Firdaus Abdullah, berkata pengeluar cip tempatan itu kini mengimbangi portfolio pendapatannya selain meneroka bidang baharu.

“China kini menghadapi ketidaktentuan akibat perang perdagangan. Justeru kami melaksanakan pelan kontingensi yang perlu bagi mengimbangi impak perdagangan China dengan perniagaan dari kawasan-kawasan lain seperti Eropah. Ialah masanya untuk Pelan B," katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, China sahaja menyumbang 34 peratus daripada jumlah pendapatan syarikat, manakala 11 peratus adalah dari AS, 31 peratus dari Taiwan manakala Eropah menyumbangkan 24 peratus.

“Kami berharap keadaan akan menjadi lebih baik, namun jika ia bertambah buruk, kami perlu bersedia dan menanganinya," katanya.

SilTerra, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, antara lain membekalkan produk cip kepada Google, Apple dan Amazon.

Selain China, syarikat itu juga mempelbagaikan perniagaan terasnya daripada pembuatan cip tradisional untuk komputer dan telefon kepada menghasilkan cip untuk industri automotif, sains hayat, Internet semua benda (IoT), serta cip berasaskan photonik untuk pelayan data dan telekomunikasi.

Sehingga tahun lalu, segmen baharu yang diceburi SilTerra, telah menyumbang kira-kira enam peratus daripada jumlah hasil, dan syarikat itu berminat menambah angka itu dalam bidang baharu.

“Potensi segmen ini sangat besar dan kami mahu berada di barisan hadapan dalam mencetus inovasi. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya pertumbuhan dua kali ganda dalam segmen ini tahun depan,” katanya.

Sejak minggu lalu, perang perdagangan antara AS dan China semakin meningkat, apabila AS menyenaraihitamkan syarikat teknologi China, Huawei.

Berikutan itu, beberapa syarikat teknologi AS termasuk Intel, Broadcom dan Qualcomm, menghentikan bekalan kepada Huawei manakala Google membatalkan serta-merta lesen Android Huawei.

Penganalisis menyuarakan kebimbangan mereka terhadap ketegangan perdagangan yang semakin buruk itu memandangkan China mungkin membalas dengan mengharamkan produk AS ke negaranya, yang akan menjejaskan teruk sektor E&E.

-BERNAMA

Berita Harian X