Selasa, 14 Mei 2019 | 4:41pm
PENGERUSI TNB, Tan Sri Leo Moggie (tengah) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman pada sidang media mesyuarat agung tahunan (AGM) TNB di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
PENGERUSI TNB, Tan Sri Leo Moggie (tengah) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman pada sidang media mesyuarat agung tahunan (AGM) TNB di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

TNB peruntuk perbelanjaan modal lebih rendah

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Malaysia Bhd (TNB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) lebih rendah tahun ini iaitu RM9.5 bilion tahun ini bagi memperkemaskan dan mengembangkan perniagaan syarikat utiliti negara.

Ketua Pegawai Kewangannya, Nazmi Othman, berkata daripada jumlah itu, TNB akan menggunakan perbelanjaan modal berjumlah RM6 bilion untuk bahagian grid, manakala RM2.5 bilion untuk penjanaan elektrik, manakala bakinya untuk tenaga boleh diperbaharui dan meter pintar.

Katanya, peruntukan lebih rendah berbanding RM12 bilion tahun lalu juga dijangka semakin mengecil setiap tahun berikutan siapnya dua stesen janakuasa Jimah East yang dijangka beroperasi tahun ini dan Southern Power Generation (SPG) pada 2020.

“Selepas kedua-dua sumber elektrik baharu beroperasi, kami menjangkakan capex setiap tahun akan mengecil kepada RM7 bilion hingga RM8 bilion,” katanya pada sidang media mesyuarat agung tahunan (AGM) TNB di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan.

Projek bernilai RM12 bilion yang diperuntukkan pada 2018 dipecahkan kepada dua unit, di mana Unit 1 loji jana kuasa arang batu Jimah East dijangka beroperasi pada Jun tahun ini, manakala Unit 2 pula pada Disember ini.

Loji jana kuasa itu dimiliki Jimah East Power iaitu anak syarikat TNB dengan pemilikan 70 peratus.

Bagi SPG pula, projek anak syarikat 51 peratus milik TNB bernilai sekitar RM4.6 bilion itu dibiayai menerusi gabungan kewangan projek serta ekuiti di mana Sukuk Wakalah bernilai RM3.7 bilion diterbitkan pada Oktober 2017.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, TNB akan memberi fokus kepada pembangunan gentian optik sebagai portfolio baharu dalam perniagaan syarikat utiliti negara itu.

Katanya, perniagaan gentian optik yang dilaksanakan TNB merangkumi pembangunan infrastruktur sebelum produk akhir akan ditawarkan oleh operator telekomunikasi negara.

“TNB akan memaksimumkan peluang dalam bahagian baharu menerusi keupayaan perhubungan yang dimiliki syarikat ini. Ini kerana model perniagaan utiliti dan gentian optik adalah sama.

“Kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memacu industri ini ke arah lebih berdaya maju kerana kami melihat kadar penembusan gentian optik ini masih belum cukup tinggi,” katanya.

Amir Hamzah berkata, TNB menjangkakan sumbangan pendapatan gentian optik bermula tahun depan memandangkan 2019 adalah tahun di mana syarikat merancang, memperkemaskan projek berkenaan sebelum dilancarkan pada akhir tahun ini.

“TNB tidak menolak untuk mengembangkan perniagaan gentian optik ke peringkat runcit berbanding borong kepada syarikat telekomunikasi ketika ini namun ia adalah proses sukar dan kompleks.

“Buat masa ini, fokus kami adalah untuk menyediakan kemudahan asas gentian optik selepas projek perintis pertama kami di Jasin, Melaka berjaya,” katanya.

Projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin bermula tahun lalu membabitkan 1,100 kediaman.

Berita Harian X