Rabu, 8 Mei 2019 | 5:39pm
KETUA Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

BIMB jangka pertumbuhan pinjaman sederhana tahun ini

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yakin pertumbuhan pinjaman bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2019 akan mengatasi purata industri walaupun pada paras sederhana antara enam dan tujuh peratus.

Data perbankan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menunjukkan pertumbuhan pinjaman susut kepada 4.9 peratus tahun ke tahun pada Mac 2019 daripada lima peratus pada Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed, berkata prestasi BIMB pada suku pertama yang akan diumumkan bulan ini dijangka memberangsangkan.

“Segmen perbankan pengguna masih menjadi bahagian terbesar pertumbuhan dan bagi setahun penuh 2019, ia akan terus memacu prestasi BIMB,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, perniagaan perbankan pengguna BIMB kini mewakili 60 peratus daripada keseluruhan aset dan 75 peratus daripada pembiayaan.

Bagi tahun kewangan 2018, keuntungan sebelum zakat dan pencukaian BIMB meningkat 5.6 peratus kepada RM810.3 juta daripada RM767.1 juta sebelumnya.

Pembiayaan kasar pula naik 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM45.7 bilion, didorong pertumbuhan pesat dalam semua segmen -- pengguna (+9.6 peratus tahun ke tahun), komersial (+9.8 peratus tahun ke tahun) dan korporat (+4.3 peratus tahun ke tahun).

Mohd Muazzam berkata, selain pertumbuhan pembiayaan, pendapatan berasaskan fi seperti khidmat pengurusan kekayaan dan pengaturan bankatakaful akan menjadi bidang tumpuan pihaknya tahun ini.

“Kami mempunyai jenama yang baik bagi pengurusan dana, iaitu ‘Arabesque’, dengan kami telah melancarkan lima dana,” katanya, dengan menambah bahawa BIMB dijangka mempergiat jualan untuk meningkatkan lagi segmen ini.

Beliau berkata, BIMB mengatasi pasaran dari segi prestasi, terutama dipacu oleh platform digital yang menggunakan teknologi data raya serta kecerdasan buatan untuk meneliti ribuan saham dan seterusnya membuat keputusan pelaburan harian.

Mohd Muazzam berkata, pihaknya juga mahu mengembangkan Sadaqa House, platform pendanaan awam Islam pertama seumpamanya sebagai agenda terkini BIMB bagi inisiatif kewangan sosial, yang dilancarkan pada 19 Januari 2018.

“Ini adalah satu langkah untuk memperluas peranan kami, daripada entiti perbankan tradisional menjadi penyedia kewangan sosial, seiring pelan perniagaan tiga tahun kami untuk mencatatkan perkembangan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan platform itu, BIMB melaksanakan aktiviti bersifat dermawan, mengumpulkan dana daripada penyumbang dan menjalinkan kerjasama dengan organisasi pencetus perubahan untuk memastikan wang yang dikumpulkan disalurkan kepada aktiviti yang mewujudkan kesan positif kepada masyarakat.

Pada masa depan, beliau berkata persekitaran ekonomi kekal mencabar dengan BNM menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia pada tahap sederhana antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus tahun ini, lebih rendah berbanding pencapaian tahun sebelum ini.

Mohd Muazzam berkata, sebagai bank yang terdedah kepada perbankan pengguna dan komersial, BIMB turut mendapat kesan pada tahap tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah dasar monetari terbaru BNM -- pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas -- diharap dapat menggalakkan aktiviti ekonomi.

“Sebagai bank berorientasikan perbankan pengguna, dengan adanya lebih perbelanjaan pengguna dan pelaburan, maka lebih banyak perniagaan yang akan berurusan dengan kami,” katanya.

Mohd Muazzam berkata, keseluruhannya, pengurangan OPR akan membawa kesan neutral ke atas prestasi kewangan bank tahun ini, namun ia mungkin memberi impak sementara ke atas pendapatan.

“Akan memberi kesan dari segi masa, memandangkan sebarang pengurangan OPR akan memberi kesan serta-merta kepada kami kerana kadar pembiayaan akan turun secara langsung, namun dari segi deposit, kadar itu hanya akan berubah apabila akaun mencapai tempoh matang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sumber pendapatan lain BIMB akan mengimbanginya.

-- BERNAMA

Berita Harian X