Khamis, 2 Mei 2019 | 3:29pm

SME Bank sedia platform digital PKS

KUALA LUMPUR: SME Bank memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Commerce.Asia bagi mewujudkan Platform Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan yang menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan perusahaan mikro dan kecil.

Bank itu dalam kenyataannya berkata, MoU yang dimeterai Selasa lalu bersama TM akan membolehkan SME Bank mendapat akses kepada infrastruktur serta perkhidmatan digital TM seperti internet berkelajuan tinggi, pusat data dan pengkomputeran awan yang akan membolehkannya meneroka penyelesaian digital untuk keperluan pembiayaan PKS.

Manakala, kerjasama dengan Commerce.Asia akan meningkatkan keupayaan Platform Digital PKS Kebangsaan melalui akses kepada lebih 700,000 pangkalan data usahawan PKS di Malaysia di samping akses kepada ekosistem teknologi e-dagang yang lengkap.

“Platform Digital PKS Kebangsaan ini adalah satu usaha SME Bank yang menyeluruh dan penyelesaian untuk SME Bank menjadi peneraju dalam ekosistem PKS yang berteraskan gelombang Revolusi Industri 4.0 di samping memberikan kami keupayaan untuk membuat keputusan berasaskan data dan pengurusan portfolio yang lebih baik,” kata Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dalam kenyataan itu.

Menurutnya, Platform Digital PKS Kebangsaan ini bakal mengubah cara PKS dibantu dan dibangunkan sekali gus memacu sumbangan PKS terhadap ekonomi negara.

-BERNAMA

Berita Harian X