Jumaat, 12 April 2019 | 12:33pm

Public Investment Bank saran 'beli' saham TNB

KUALA LUMPUR: Public Investment Bank menaik taraf saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) kepada saranan 'beli' daripada 'neutral'.

Dalam notanya, firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan harga pasaran semasa, dividen TNB pada kadar empat peratus dilihat menarik.

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan pada harga sasaran RM14.12 berasaskan aliran tunai diskaun.

"Walaupun sentimen semalam disebabkan oleh berita penjualan saham oleh Khazanah Nasional Bhd, asas TNB kekal tidak terjejas dan oleh itu kami melihat penyusutan harga saham sebagai peluang baik untuk mengumpulkannya.

"Sementara rangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR) akan membantu TNB untuk kembali mengawal selia aset-aset, kami percaya keuntungan masih boleh ditingkatkan menerusi kecekapan kos dan pulangan lebih tinggi dalam aset-aset bukan dikawal selia," kata Public Investment Bank.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB melaporkan Khazanah telah menjual 85 juta sahamnya, menyebabkan saham itu ditutup empat peratus lebih rendah semalam.

Saham itu mewakili 1.5 peratus kepentingannya dalam TNB.

Penjualan itu menyaksikan pegangan saham Khazanah dalam syarikat gergasi utiliti itu menyusut kepada 27.27 peratus daripada 28.76 peratus sebelumnya.

Menurut Bloomberg, penjualan saham oleh Khazanah adalah bernilai RM1 bilion pada harga RM12.33 sesaham, mewakili dua peratus diskaun untuk ditutup pada harga akhir RM12.58.

"Walaupun kami percaya penjualan itu adalah sebahagian daripada pelupusan nilai aset oleh Khazanah, TNB kekal sebagai pemegang utama dana kekayaan kedaulatan Malaysia itu.

"Berdasarkan pegangan TNB dalam pasaran telah berkurangan sebanyak RM18.5 bilion atau 21.2 peratus tahun ke setakat ini, berbanding kerugian dalam hasil sebanyak RM640 juta bagi tahun kewangan 2018, kami berpendapat penjualan itu adalah pada kadar tinggi," katanya.

Mengenai semakan tarif elektrik akan datang pada Jun 2019, Public Investment Bank berkata, ia percaya kurang tekanan untuk menaikkan asas tarif dalam kalangan pelanggan rumah kediaman berikutan kejatuhan harga arang batu.

"Apa pun, kami percaya masih ada baki dana (kami anggarkan penjimatan hampir RM1 bilion, selepas memasukkan hasil lebihan dikutip pada 2018 dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang akan digunakan untuk subsidi surcaj mana-mana pelanggan rumah kediaman)," katanya.

Pada 10 pagi ini, sahamnya naik 24 sen kepada RM12.30 dengan 1.1 juta saham diniagakan.

Berita Harian X