Jumaat, 12 April 2019 | 12:18pm

FGV terbuka cari penyelesaian

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) terbuka untuk mengadakan perbincangan strategik dalam mencari penyelesaian terbaik dan meneroka potensi kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada pemegang saham.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, FGV bersetuju dengan perancangan kerajaan untuk memulihkan FELDA dan komitmen baharu untuk mengukuhkan situasi kewangan peneroka FELDA.

“Perancangan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan peneroka adalah langkah positif dan FGV bersetuju bahawa terdapat keperluan segera untuk menyemak semula terma dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan FELDA.

“Ia menjadi keperluan memandangkan perkara ini kerap kali dibangkitkan sejak tiga tahun lalu, hingga mencetuskan ketindaktentuan dan kebimbangan dalam kalangan pemegang saham kami,” katanya.

FGV berkata, di bawah terma semasa LLA, ia perlu membayar pajakan tetap kira-kira RM250 juta setahun untuk tempoh selama 99 tahun, bermula dari tahun 2012.

“Bayaran sebanyak RM250 juta ini dibayar tanpa mengira pergerakan harga semasa minyak sawit mentah (MSM). Semasa rundingan LLA dibuat pada 2012, purata harga MSM adalah RM2,843 setan. Harga MSM pada 10 April 2019 adalah RM2,047 setan,” katanya.

FGV menjelaskan, syarikat itu komited untuk membayar FELDA sebanyak 15 peratus daripada keuntungan hasil ladang LLA.

Katanya, jumlah keseluruhan yang dibayar FGV kepada FELDA sejak 2012 adalah RM2.26 bilion.

“FGV memenuhi semua tanggungjawab di bawah LLA. Sebagai sebuah syarikat senaraian awam, FGV perlu mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham jika mahu melakukan sebarang pindaan dalam LLA.

Ia berkata, di bawah pengurusan baharu, syarikat itu fokus kepada pelan transformasi secara menyeluruh yang mana mula membuahkan hasil.

“FGV akan mengumumkan keputusan kewangan suku pertama 2019 pada Mei 2019 dan bakal meletakkan syarikat itu di landasan betul untuk mencapai pertumbuhan mampan hasil daripada semua langkah positif yang diambil sejak Oktober 2018,” katanya.

Berita Harian X