Rabu, 3 April 2019 | 7:08pm

Pusat kecemerlangan MetLife wujud pekerjaan nilai tinggi

KUALA LUMPUR: Penubuhan sebuah pusat kecemerlangan di ibu negara oleh kumpulan perkhidmatan kewangan MetLife Inc dari New York dijangka akan mewujudkan 80 pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

Pekerjaan berkenaan merangkumi bidang-bidang dalam perkhidmatan aktuari, teknologi maklumat dan perakaunan, kata InvestKL dalam satu kenyataan hari ini.

Agensi penggalakkan pelaburan itu berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking telah melawat ibu pejabat MetLife di New York pada 2 April lalu sebagai sebahagian daripada misi perdagangan serta pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) selama enam hari.

Turut serta dalam rombongan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) InvestKL, Datuk Zainal Amanshah dan CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Mereka bertemu dengan beberapa anggota pasukan pengurusan kanan MetLife, termasuk Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan John McCallion serta membincangkan pelbagai topik termasuk rancangan MetLife di Malaysia dan di rantau ini, khususnya dalam perhubungan dengan kerajaan, inovasi dan pembangunan bakat termasuk pembangunan jenama berkenaan.

Darell berkata, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya mempunyai banyak kelebihan termasuk ekosistem perniagaan yang maju, dasar-dasar yang mesra perniagaan, infrastruktur termoden serta kelebihan kos berdaya saing dan sumber bakat yang kukuh.

"Kami teruja apabila sebuah jenama yang terkemuka seperti MetLife akan memperluaskan kehadiran mereka di Malaysia.

"Banyak syarikat dengan perkhidmatan perniagaan serantau telah mengasaskan tapak mereka di Greater Kuala Lumpur, menyediakan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia dan pelaburan mereka di sini akan membantu untuk mengubah ekonomi negara menjadi lebih bertenaga dan mapan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X