Rabu, 3 April 2019 | 6:52pm
Ketua Perolehan Kumpulan Malaysia Airlines, Ignatius Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Payments Network, Peter Schiesser pada majlis penyampaian hadiah pemenang kempen DuitNow. NSTP/Amirudin Sahib.
Ketua Perolehan Kumpulan Malaysia Airlines, Ignatius Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Payments Network, Peter Schiesser pada majlis penyampaian hadiah pemenang kempen DuitNow. NSTP/Amirudin Sahib.

Pembayaran tanpa tunai sokong sasaran pendapatan Malaysia Airlines

PETALING JAYA: Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) menjangkakan dapat memenuhi sasaran pendapatannya menerusi usaha sama dengan rakan pembayaran tanpa tunai.

Ketua Perolehan Kumpulannya, Ignatius Ong, berkata kerjasama itu bertujuan memudahkan pelanggan Malaysia Airlines untuk membuat pembayaran.

“Selain itu, kami juga mahu memastikan bahawa kami berjaya mencapai sasaran perolehan (dalaman) yang telah kami tetapkan,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan hadiah kepada pemenang kempen DuitNow di sini, hari ini.

Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dengan kerjasama Malaysia Airlines mengadakan majlis penyerahan hadiah kepada pemenang pertama kempen DuitNow yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM4 juta.

PayNet adalah rangkaian pembayaran dan prasarana berpusat utama di negara ini bagi pasaran kewangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pemegang saham tunggal terbesar PayNet dengan 11 bank lain di negara ini bertindak sebagai pemegang saham bersama.

Menerusi kempen berkenaan, Malaysia Airlines menaja pakej percutian bernilai RM100,000.

Mengulas lanjut, Ong berkata, Malaysia Airlines juga telah menyediakan sejumlah peruntukan untuk syarikat lain seperti PayNet dan Maxis.

“Kerjasama dengan PayNet adalah positif bagi pertumbuhan pendapatan Malaysia Airlines. Kami menyasarkan golongan remaja dari segi peningkatan peratusan,” katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia Airlines teruja kerana menjadi satu daripada rakan kongsi PayNet bagi kempen berkenaan.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah membuat pelaburan yang besar dalam menaik taraf produk dan perkhidmatan.

“Dengan adanya semua penambahbaikan ini, kami yakin bahawa pemenang yang terpilih akan mengalami percutian yang hebat, bermula dan berakhir dengan ‘Malaysian Hospitality’,” katanya.

Berita Harian X