Ahad, 31 March 2019 | 5:47pm
KETUA Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL), Noormah Mohd Noor. - Foto Rosela Ismail.

ERL unjur penumpang cecah 100 juta Jun ini

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali tren KLIA Expres dan KLIA Transit mengunjurkan jumlah penumpangnya akan mencecah 100 juta orang menjelang Jun ini selepas memulakan operasi sejak 2002.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor, berkata pihaknya optimis sasaran 100 juta penumpang itu mampu dicapai dengan langkah inovasi yang dilaksanakannya terutama membabitkan integrasi sistem tempahan tiket dengan pihak ketiga.

Katanya, bermula tahun lalu, pihaknya menyelesaikan integrasi Aplikasi Program Antara Muka (API), yang mana ia membolehkan ERL mengintegrasikan sistem tempahan tiket dengan rakan kongsinya seperti syarikat penerbangan.

"Dengan integrasi API, pelanggan kami boleh menempah tiket ERL menerusi sistem tempahan tiket syarikat penerbangan yang menjadi rakan kongsi kami.

"Setakat ini, kami bekerjasama dengan syarikat penerbangan seperti AirAsia, Malindo Air, Emirates, KLM dan akan datang dengan Malaysia Airlines," katanya ketika ditemui dalam satu temubual di sini, baru-baru ini.

Mengenai sasaran jumlah penumpang bagi 2019, Noormah berkata, dengan integrasi sistem tempahan tiket itu, pihaknya menyasarkan jumlah penumpangnya akan meningkat lima peratus tahun ini berbanding 8.6 juta penumpang yang dicatatkan bagi keseluruhan tahun lalu.

"Kami mempunyai penyambungan yang baik dengan sistem transit lain di Kuala Lumpur, terutama menerusi stesen KL Sentral, yang mana penumpang dengan mudah untuk beralih kepada sistem transit lain seperti Monorail, LRT, Komuter dan MRT," katanya.

Melangkah ke hadapan, Noormah berkata, ERL akan terus menjalin kerjasama strategik dengan rakan kongsi termasuk korporat, syarikat penerbangan, penyedia e-dagang, e-dompet dan e-hailing bagi memberikan lebih nilai kepada pelanggannya.

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan rakan kongsi itu akan membantu pihaknya meningkatkan penyambungan, memperluaskan saluran jualan dan menyediakan pilihan pembayaran kepada pelanggan.

Selain itu, Noormah berkata, ERL juga menawarkan perkhidmatan VIP pada kadar yang kompetitif, dengan menggabungkan perkhidmatan tren KLIA Expres dan limosin eksekutif.

Beliau berkata, ERL juga menawarkan kemudahan daftar masuk di KL Sentral bagi pelanggannya yang menggunakan perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines, Cathay Pacific, Cathay Dragon dan Malindo Air.

Berita Harian X