Khamis, 28 March 2019 | 9:09pm
Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum. - NSTP/Owee Ah Chun

Mah Sing beli tanah RM90.3 juta

KUALA LUMPUR: Mah Sing Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Mah Sing Group (Mah Sing), telah membeli sebidang tanah pegangan kekal bernilai RM90.3 juta di Mukim Petaling yang merangkumi caj pembangunan.

Mah Sing berkata, tanah itu akan digunakan bagi pembangunan khusus yang memberi pulangan segera kerana tanah berkeluasan 1.87 hektar itu mempunyai kebenaran merancang.

Bagaimanapun, memandangkan ia terletak di kawasan tumpuan, syarikat itu berhasrat menimbang semula pelan pembangunan tersebut untuk disesuaikan dengan permintaan semasa pasaran.

Menurutnya, pembelian tanah itu adalah sejajar dengan tumpuan syarikat untuk memperluas kehadirannya di Lembah Klang khususnya bagi rangkaian hartanah mampu milik dan simpanan tanahnya telah meningkat kepada 853.48 hektar dengan baki Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dan jualan belum dijelaskan berjumlah RM26.2 bilion.

“Pengambilalihan itu adalah sepadan dengan strategi simpanan tanah kami bagi projek khusus di lokasi bersesuaian untuk pembangunan serta merta,” kata Pengarah Urusan kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum.

Pengarah Strategi dan Operasi kumpulan, Lionel Leong, berkata projek baharu itu menyasarkan kepada pembeli rumah kali pertama dan mereka yang ingin membeli rumah lebih baik selain populasi profesional bandar yang berhasrat menetap berhampiran pusat perniagaan yang dilengkapi kemudahan dan infrastruktur sedia ada.

“Tanah itu terletak di lokasi utama dengan cadangan membina unit dilengkapi dua bilik tidur bagi pembeli rumah pertama yang berkeluasan daripada 700 kaki persegi dengan harga bermula daripada RM428,000.

“Selain itu, kami yakin sebahagian besar daripada pembeli rumah pertama akan berminat terhadap hartanah itu memandangkan kemungkinan anggota keluarga mereka tinggal di kawasan kejiranan berhampiran. Bagi pasaran ini, kami menyediakan rumah dengan tiga hingga empat bilik tidur,” katanya.

Leong berkata pendaftaran bagi yang berminat akan dilaksanakan tidak lama lagi. -- BERNAMA

Berita Harian X