Khamis, 28 March 2019 | 9:41am
Gambar fail, Ibu pejabat Saudi Basic Industries Corp (SABIC) dilihat di Riyadh, Arab Saudi. - Foto REUTERS
Gambar fail, Ibu pejabat Saudi Basic Industries Corp (SABIC) dilihat di Riyadh, Arab Saudi. - Foto REUTERS

Saudi Aramco beli kepentingan dalam syarikat petrokimia bernilai RM281.76 bilion

LONDON: Syarikat minyak Arab Saudi, Saudi Aramco, hari ini berkata, ia akan membeli 70 peratus kepentingan dalam gergasi petrokimia pada harga AS$69.1 bilion (RM281.76 bilion), dalam apa yang dilihat sebagai alternatif kepada tawaran awam permulaan (IPO) yang tertangguh.

Perjanjian itu, yang membabitkan tiga entiti yang dikuasai kerajaan Saudi, sebahagian besarnya mencapai matlamat utama penawaran saham Aramco, iaitu membantu membiayai kempen memodernisasi negara itu.

Aramco akan membeli kepentingan dalam syarikat petrokimia, Saudi Basic Industries Corp, yang dikenali sebagai SABIC, yang kini dikuasai dana kekayaan negara itu.

Baki 30 peratus SABIC akan terus disenaraikan di Bursa Saham Arab Saudi.

Transaksi itu akan memberi Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang menjadi penyokong utama penjualan sebahagian daripada saham Aramco kepada pelabur awam, sekumpulan wang tunai yang diperlukan untuk mempelbagaikan ekonomi Saudi yang sangat bergantung kepada minyak.

Putera mahkota itu berharap ia akan menampan ekonomi negara itu daripada turun naik harga minyak selain melabur dalam industri yang akan memberikan pendapatan bagi kerajaan jika permintaan terhadap minyaknya berkurang.

Selain itu, pengambilalihan kepentingan pengawalan Aramco dalam SABIC dijangka menarik pengawasan awam yang minimum berbanding penyenaraian di pasaran saham.

Perjanjian itu "memberikan putera mahkota apa yang dia mahukan," kata F. Gregory Gause III, profesor hal ehwal antarabangsa di Bush School of Government and Public Service di Texas A&M University.

"Ia sememangnya lebih mudah daripada terpaksa menaikkan tunai melalui IPO yang memerlukan semua akaun Aramco dibuka."

Saham yang dibeli Aramco dipegang Dana Pelaburan Awam, yang mana Prince Mohammed telah menetapkannya sebagai jentera khusus untuk melaksanakan rancangan pemodenan negara itu.

Urus niaga itu akan menukar pegangan dana ke dalam tunai, yang membolehkannya membuat pelaburan lain.

Jualan saham "akan merungkai modal secara ketara" bagi strategi pelaburan untuk menyumbang kepada "kepelbagaian sektoral dan pendapatan Arab Saudi" kata pengarah urusan dana itu, Yasir Al-Rumayyan, dalam satu kenyataan. - Reuters

Berita Harian X