Isnin, 18 March 2019 | 5:31pm
Metronic Global Bhd meraih pendapatan berjumlah RM43 juta bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Metronic sasar projek bandar pintar global AS$1 bilion

KUALA LUMPUR: Metronic Global Bhd (Metronic), menyasarkan untuk memperoleh projek penyelesaian teknologi bandar pintar sambungan tanpa wayar generasi kelima (5G) bernilai AS$1 bilion (RM4.079 bilion) di seluruh dunia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Brian Hoo Wai Keong, berkata sasaran projek di sekitar Malaysia, Eropah, Amerika Syarikat (AS), Asia Barat dan Asia Tenggara itu merangkumi kurang satu peratus daripada pelaburan global dalam projek teknologi bandar pintar menjelang 2021.

“Sasaran kami tidaklah terlalu jauh. Penguasaan AS$1 bilion adalah daripada sasaran AS$135 bilion (RM550.75 bilion) menjelang 2021. Angka ini berdasarkan Panduan Perbelanjaan Bandar Pintar Separuh Tahun International Data Corp (IDC) Worldwide berlandaskan peningkatan mendadak dalam perhubungan telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejajar itu, Metronic menerusi anak syarikatnya, Metronic Engineering Sdn Bhd (MESB) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Zhuhai Singyes New Materials Technology Co Ltd (Zhuhai Singyes).

Zhuhai Singyes yang juga anak syarikat China Singyes New Materials Holdings Limited (SINGYES) yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong (HKSE) sejak 2017, adalah pakar dalam menyediakan penyelesaian bandar pintar dengan teknologi hijau dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE)/solar.

Kerjasama Metronic dan SINGYES menawarkan penyelesaian teknologi bandar pintar terbukti yang menghubungkan infrastruktur dengan internet untuk segalanya (IoT) dan keupayaan 5G bagi menyokong Inisiatif Bandar Pintar dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Wai Keong berkata, penyelesaian teknologi bandar pintar SINGYES seperti pelarasan Lampu Pintar, rangkaian sensor, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan komposit termaju yang disepadukan dengan infrastruktur, RE serta 5G menjadikan persekitaran kediaman lebih selamat, sesuai dengan inisiatif bandar pintar Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan SINGYES, Tang Li Wen dalam kenyataan sama, berkata syarikat itu teruja dengan kerjasama Metronic, berlandaskan penyelesaian teknologi terbukti dimilikinya diguna pakai pada bangunan berkelas dunia seperti Shanghai Yaohan, Shanghai Le Meridien Hotel, platform stesen kereta api Dalian Hekou dan Suzhou Nikko Hotel.

Dalam pada itu, Metronic meraih dana sehingga RM42 juta daripada terbitan semula hak sehingga 645,342,048 saham baharu pada harga 6.5 sen sesaham bersama sehingga 484,006,536 waran percuma bagi asas empat saham hak bersama dengan tiga waran bagi setiap dua saham Metronic sedia ada.

Terbitan itu juga akan menjana lebih banyak keuntungan kepada syarikat bagi meningkatkan kadar kejayaan dalam tender projek.

Ketika ini, Metronic sedang memuktamadkan beberapa tender kejuruteraan berpotensi dengan nilai besar sehingga RM300 juta di Malaysia dan rantau ini.

Ia meraih pendapatan berjumlah RM43 juta bagi tahun kewangan berakhir 2018 dengan memiliki beberapa projek termasuk Pusat Konvensyen KLCC, Melawati Mall, Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Kajang, KL Sentral, Sunway Velocity Hotel, Arcoris Mon’t Kiara (MK 20), Damansara City Hotel, KL Eco City dan pembangunan bercampur RADIA Bukit Jelutong.

Berita Harian X