Selasa, 5 March 2019 | 8:03pm
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. Foto BERNAMA.

Malaysia Airlines sumbang separuh susut nilai Khazanah

KUALA LUMPUR: Susut nilai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berjumlah RM7.3 bilion yang direkodkan tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).

Jumlah susut nilai pada 2018 adalah tiga kali ganda melebihi susut nilai sebanyak RM2.3 bilion pada 2017.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata faktor utama menyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan itu adalah kos yang untuk mengekalkan kelangsungan operasi Malaysia Airlines dan limpahannya kepada cukai daripada industri pelancongan, ketersambungan, perniagaan dan aktiviti ekonomi.

“Bagaimanapun, ia bukan bermakna Malaysia Airlines tidak beroperasi dengan baik, tetapi disebabkan industri penerbangan yang tidak memberangsangkan,” katanya.

Mengenai Malaysia Airlines yang memasuki fasa akhir pelan pemulihan sebanyak RM6 bilion, Shahril Ridza berkata, Khazanah akan memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya.

“Pada masa depan, bagi Malaysia Airlines dan semua syarikat di bawah Khazanah... tanggungjawab utama untuk menjalankan strategi yang berdaya maju dan berdaya saing harus dipikul oleh pengurusan dan Lembaga Pengarah syarikat.

“Jadi kami menunggu pengurusan Malaysia Airlines dan Lembaga Pengarahnya untuk mengkaji semula strategi dan memaklumkan semula kepada kami sebagai pemegang saham dan kemudiannya berbincang dengan kerajaan mengenai tahap sokongan yang diperlukan,” katanya.

Malaysia Airlines dijadikan syarikat persendirian oleh Khazanah sebagai sebahagian daripada program pelan pemulihan lima tahun yang bermula 2014.

Mengulas lanjut, Shahril Ridza berkata, lebihan kapasiti dan lebihan bekalan dalam industri penerbangan menjadi salah satu isu di negara ini dengan populasi hanya 30 juta penduduk.

“Kita juga bukan hab kewangan seperti Hong Kong dan Singapura yang mana menerima jumlah kedatangan pelancong perniagaan yang tinggi. Pasaran pengguna di Malaysia lebih memilih kepada pelancongan tambang murah dan ini adalah realitinya.

“Jadi, kita tunggu Malaysia Airlines untuk melengkapkan laporan mereka dan selepas itu kami akan memutuskan sama ada untuk meneruskan pelaburan terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, mengenai Telekom Malaysia Bhd (TM), beliau berkata, prestasi syarikat pelaburan itu mampu meningkat semula menerusi strategi perubahan pengawalseliaan harga pengguna dan penyusunan semula kos.

“Keuntungan TM boleh diperoleh semula jika syarikat telekomunikasi itu mampu menyesuaikan diri dengan harga baharu. Penurunan nilai TM dalam pasaran adalah disebabkan oleh perubahan dasar dalam penurunan harga pengguna.

“Oleh itu, syarikat yang terbabit dalam situasi itu akan mengambil masa untuk penyusunan semula kos syarikat,” katanya.

Mengulas mengenai PLUS Expressway Bhd, Shahril Ridza berkata, Khazanah akan menyerahkan kepada konglomerat itu bagi menguruskan perbincangan dengan kerajaan mengenai cadangan pengambilalihan lebuh raya bertol.

Katanya, sebagai lebuh raya bertol antara bandar, PLUS menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya.

“Pada pandangan kami, antara alasan utama ketika ini adalah sebahagian lebuh raya ini membebankan rakyat kerana ia tidak menyediakan alternatif lain.

“Sebagai pemegang saham PLUS, kami menyerahkan kepada mereka untuk mengendalikan perbincangan dengan kementerian berkaitan dan kerajaan. Kami akan menasihatkan PLUS dari masa ke masa jika terdapat sebarang hasil daripada rundingan itu,” katanya.

Berita Harian X