Ahad, 24 Februari 2019 | 5:20pm

Maxis peserta baharu sektor jalur lebar tetap

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) menyasarkan pendapatan melebihi RM10 bilion menjelang 2023, menerusi perancangan strategi korporat yang baharu, demikian menurut JP Morgan.

Bank pelaburan multinasional itu berkata, konglomerat telekomunikasi itu kini berusaha untuk mencapai matlamat mereka sebagai peneraju utama strategi komunikasi digital di Malaysia.

Katanya, ia juga adalah sebagai menyokong strategi Maxis untuk menjadi syarikat komunikasi dan perkhidmatan digital bersepadu menjelang tempoh lima tahun akan datang merangkumi segmen pengguna dan perusahaan.

“Ia juga bagi mencapai pertumbuhan kawasan baharu dalam pasaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pertumbuhan perniagaan enterpris dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Maxis telah menjangkakan pasaran ICT mampu mencapai RM20 bilion hingga RM25 bilion (berdasarkan prestasi pendapatan perkhidmatan Maxis bagi tahun kewangan 2018),” katanya dalam nota penyelidikan mengenai syarikat telekomunikasi Malaysia.

Selain itu, JP Morgan juga berkata, Maxis bagaimanapun dijangka berdepan prospek pendapatan jangka pendek lebih mencabar ekoran tekanan persaingan dan kos permulaan strategi korporatnya.

“Petunjuk prestasi kewangan bagi tahun 2019 (FY19) bagi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dijangka merosot pada kadar pertengahan satu angka pada FY19, mengurangkan risiko penurunan konsensus.

“Lebih-lebih lagi strategi Maxis mengesahkan pandangan kami terhadap Telekom Malaysia (TM) di mana bahagian pasaran dan purata hasil setiap pengguna (ARPU) berisiko daripada pesaing baharu,” katanya

Sebelum ini, Maxis mengumumkan peruntukan perbelanjaan modal tambahan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menyokong strateginya sebagai peneraju dalam penyediaan perkhidmatan telekomunikasi menyeluruh.

Selain itu, ia juga bagi menyokong sasaran syarikat, iaitu mencapai pendapatan perkhidmatan dalaman melebihi RM10 bilion dalam tempoh lima tahun menjelang 2023.

Dalam kenyataan laporan kewangannya baru-baru ini, Maxis berkata, ia sudah mula memperluaskan perniagaannya untuk memperoleh peluang penyelesaian perusahaan dan perkhidmatan menyeluruh di semua segmen, dalam usaha menetapkan hala tuju syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Maxis membuat perubahan signifikan kepada strateginya, dengan membina asas untuk menjadi peserta menyeluruh yang kukuh di Malaysia," katanya.

Maxis mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan 2018 dengan pendapatannya meningkat sebanyak 5.1 peratus kepada RM4.072 bilion berbanding RM3.873 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Ia dipacu oleh pertumbuhan pelanggan baharu seramai 282,000 tahun ini, menjadikan jumlah pelanggan melebihi 3.1 juta.

Berita Harian X